Sunday, May 17, 2015

Lions cipta sejarah, Penyu kecewa

Sumber: Utusan Online

KUALA TERENGGANU – Hasrat Terengganu untuk mengulangi kejayaan mara ke final empat tahun lalu berkecai walaupun menang 3-2 ketika bermain dengan sembilan orang menentang Lions XII dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di sini semalam.

Melangkah ke padang dengan ke­tinggalan 1-2 setelah tumpas dalam separuh akhir pertama di Singapura, kemenangan semalam tidak bermakna apabila kedudukan terikat 4-4 secara agregat sekali gus memboleh­kan Lions mencipta sejarah mara ke final buat pertama kali berbekalkan dua gol di tempat lawan.



Beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru dibuka semula, tuan rumah yang melancarkan serangan bertali-arus sebaik sahaja wisel permulaan ditiup bagaimanapun dikejutkan oleh jaringan Mohd. Khairul Amri pada minit ke-16 hasil serangan pantas.

Gol tersebut bagaimanapun hanya bertahan empat minit apabila ayam tambatan Terengganu, Paolo Rangel kembali menyamakan kedudukan selepas menanduk ma­suk hantaran lintang penyerang dari Kanada, Issey Nakajima-Farran.

Khairul Amri sekali lagi merobek gawang tuan rumah apabila rembatan cantiknya dari luar kotak penalti pada minit ke-26 meletakkan Lions kembali di depan.

Penyerang dari Brazil, Rangel merapatkan kedudukan agregat kepada 3-4 untuk Terengganu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit pertama masa tambahan babak pertama yang terus membakar semangat rakan-rakannya untuk memburu gol.

Anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim terus mempamerkan ke­sungguhan dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya memanfaatkan peluang terhidang di depan gawang pelawat pada minit ke-59, sekali gus menamatkan kemarau jari­ngannya bersama skuad Penyu sejak membuat penampilan sulung pada 18 April lalu.

Ahmad Nordin Alias berpeluang menjadi wira tuan rumah apabila meledak jaringan keempat pada minit ke-88 namun gol tersebut dibatalkan akibat ofsaid.
Malang terus menimpa Terengganu apabila Rangel cuba menyerang pengadil sehingga dilayangkan kad merah pada minit ke-90.

Pengadil Mohd. Amirul Izwan Yaacob terus mengundang kemarahan penyokong tuan rumah apabila melayangkan kad merah kepada Gustavo Lopez kerana memprotes tindakan beliau.

Kekacauan yang berlaku di stadium itu bagaimanapun berjaya dikawal anggota polis dan Unit Tindakan Ringan Polis.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...