Sumber: Harian Metro Online
Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan mengakui kecewa apabila skuadnya tidak dapat beraksi pada pusingan kedua Piala AFC bertemu kelab Indonesia, Persipura Jayapura di Stadium Mandala yang dijadualkan esok.
Beliau juga terkilan dengan layanan diterima selepas dimaklumkan visa pemain import tidak diluluskan atas faktor tertentu.
Beliau tidak sangka kejadian seperti itu berlaku ketika Pahang sudah cukup bersedia untuk beraksi pada pusingan kalah mati itu di gelanggang lawan.
“Saya terkilan kerana segalanya dilihat berjalan lancar setibanya di Jakarta sebelum dimaklumkan pemain import tidak dapat beraksi disebabkan masalah visa.
“Pada pendapat saya, masalah ini tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan perlawanan antarabangsa. Pemain juga kecewa dengan kejadian ini,” katanya semalam.
Kelmarin, setibanya di Jakarta, skuad Pahang yang akan bertandang ke Stadium Mandala terkejut apabila menghadapi masalah visa membabitkan pemain import.
Disebabkan masalah tidak diduga itu, Pahang yang juga naib juara Kumpulan G memutuskan pulang ke tanah air.
Mengulas keputusan itu, Zainal akur dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) itu.
“Kami kini menunggu keputusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung aksi pusingan kedua itu,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung PBNP Fuzzeimi Ibrahim berkata, keputusan memanggil pulang skuad Tok Gajah diputuskan kerana tidak dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik pada pusingan kalah mati itu.
“Selepas menyedari kita bakal berdepan masalah disebabkan ketiadaan pemain import, kita memutuskan untuk tidak beraksi dan pulang ke tanah air.
“Sebenarnya, segala urusan berkaitan visa sudah dilakukan termasuk mendapat kerjasama daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.
Berhubung status Pahang yang mengambil keputusan untuk tidak bermain, Fuzzeimi berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menurutnya, pihaknya hanya menunggu keputusan daripada AFC dan pada masa sama menunggu laporan penuh daripada dua pegawai PBNP yang turut menyertai skuad itu.
No comments:
Post a Comment