Tuesday, May 14, 2013

Johor gigit jari di laman sendiri

Sumber: Harian Metro
 
Pasir Gudang: Johor terpaksa menggigit jari apabila hasrat mencatat kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian sebaliknya hanya mampu sekadar seri 1-1 dengan KL Pos FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), petang semalam.

Tempoh hanya seminit sebaik perlawanan bermula digunakan skuad Merah Biru untuk membuka tirai jaringan apabila bola sepakan lintang Mohd Ezaidy Khadar menyaksikan Juan Muriel Orlando menanduk masuk menewaskan penjaga gol KL Pos, Mohamad Fadley Abdul Rahman.


Ketika aksi memasuki minit ke-14, anak didik Azmi Mohammad hampir menambah jaringan selepas bola sepakan percuma Ezzequel Gallagos tepat kepada Mohd Aliff Mohd Yusof namun tandukannya hanya sipi dari gawang gol ketika Mohamad Fadley sudah tertewas.


Sememangnya nasib tidak menyebelahi skuad yang bergelar Merah Biru itu apabila terlepas peluang di depan gol pada minit ke-24 ketika bola lorongan Mohd Aliff gagal disudahkan kapten Mohd Farid Ideris yang sekadar menyepak melepasi palang gol.

Bersambung babak kedua, skuad Merah Biru bertali arus mengasak ke kubu KL Pos FC namun benteng pertahanan anak didki G Torayraju begitu ampuh apabila berjaya mengekang usaha barisan serangan tuan rumah yang begitu rakus memburu gol menerusi percubaan Orlando.

Sekali lagi percubaan skuad Merah Biru yang seharusnya menjelmakan gol pada minit ke-59 menerusi bola rembatan Md Farid sekadar singgah ke tiang gol malah rembatan susulan Mohd Ezaidy turut dihampakan oleh Mohamad Fadley yang pantas menampan bola keluar.

Sebaliknya KL Pos FC bangkit menyamakan pada minit ke-62 selepas serangan balas Mohd Saufi Ibrahim yang pantas menyusup masuk ke kawasan tuan rumah bertindak merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...