Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Sime Darby bakal turun ke Stadium
Negeri, Kuching menentang Sarawak hari ini bagi menghadapi 'ibu segala
perlawanan' dan jika menang, kedudukan skuad Ismail Zakaria itu pada
tangga teratas Liga Perdana semakin sukar dicabar.
Masih kekal dengan rekod tanpa kalah dalam 15 perlawanan, Ismail
sedar pertemuan hari ini akan menjadi pertemuan paling sukar dan
mengharapkan para pemainnya menguatkan mental.
Berdepan penyokong Sarawak yang dianggap cukup fanatik di gelanggang
sendiri, dia memberikan pesanan agar pemain hanya fokus kepada permainan
tanpa mempedulikan provokasi lawan.
"Jangan layan atau terjerat permainan penyokong lawan, saya
mengharapkan pemain bermain mengikut perancangan yang telah diatur dan
berikan fokus sehingga tamat perlawanan.
"Mental perlu lebih kuat dan elakkan terlibat daripada sebarang
masalah, saya yakin kami boleh memperoleh sekurang-kurangnya satu mata,"
katanya ketika dihubungi, semalam.
Jika kemenangan ke atas Sarawak mampu dicapai, Sime Darby mampu
menjarakkan kelebihan kepada lima mata ketika baki enam baki perlawanan.
Ditambah tiada sebarang kecederaan yang dialami para pemainnya,
Ismail melihat ia memudahkan perancangannya dalam berdepan Sarawak.
"Saya tidak pandang rendah kemampuan Sarawak yang mempunyai jurulatih
yang bagus dan para pemain berpengalaman namun skuad kami juga tidak
banyak berbeza.
"Kami tidak mahu pulang tangan kosong dan jika menang, saya anggap itu sebagai satu bonus," katanya.
No comments:
Post a Comment