Tuesday, May 14, 2013

Piala AFF tergugat?

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Australia dijangka bakal menjadi negara anggota penuh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Ogos ini sekali gus mencetuskan persoalan sama ada skuad Socceroos itu turut menyertai Piala AFF 2014.

Dengan format kejohanan yang sudah berubah apabila ia terbuka kepada 11 negara anggota AFF tanpa membabitkan pusingan kelayakan seperti sebelum ini, kehadiran Australia bakal melengkapkan 12 pasukan dalam kejohanan yang akan dianjurkan bersama juara bertahan Singapura dan Vietnam.

Namun kedudukan Australia dalam AFF hanya akan diketahui secara rasmi pada mesyuarat Kongres Luar Biasa, Ogos ini meskipun cadangan awal kemasukan negara yang muncul antara kuasa besar bola sepak Asia itu sudah mendapat sokongan ahli gabungan.



 
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad, berkata beliau difahamkan Australia mungkin tidak beraksi dalam Piala AFF tahun depan, namun tidak pasti sama ada jika negara itu akan berada dalam senarai pasukan bagi edisi seterusnya.

“Apa yang saya difahamkan Australia tiada dalam senarai pasukan bagi kejohanan Piala AFF 2014. Setakat ini masih belum ada keputusan kerana AFF juga belum menerima sebarang surat rasmi daripada Australia,” kata Azzuddin.


Menerusi format baru Piala AFF yang diumumkan pada Kongres AFF ke-20 awal bulan lalu negara yang bertanding membabitkan Singapura, Malaysia, Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.


Sejak menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2006 selepas keluar dari Konfederasi Bolasepak Oceania, Australia sudah menjadi negara jemputan dalam kejohanan di rantau ini membabitkan kejohanan peringkat umur, futsal lelaki dan wanita.

Bagi Azzuddin, jika Australia yang menduduki ranking ke-47 dunia dan pernah beraksi di Piala Dunia pada 1974, 2006 dan 2010 tampil di kejohanan Piala AFF, ia bakal menambah prestij kejohanan itu.


“Kita semua tahu Australia sebuah negara yang bagus dalam bola sepak dan jika mereka bertanding dalam Piala AFF, ia pasti akan menaikkan taraf kejohanan itu,” kata Azzuddin yang bakal menyandang jawatan Setiausaha Agung AFF awal bulan depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...