Sumber: Harian Metro
Seremban: Negeri Sembilan mahu menamatkan penantian mereka memburu
kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini pada pertemuan
dengan Kelantan, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Justeru itu, skuad Hoben Jang Hoben sudah bertekad untuk tidak akan
memberi laluan mudah sebaliknya tentangan habis-habisan, dalam misi
mereka merealisasikan sasaran itu.
Jurulatih Divaldo Alves berkata, selepas misi mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila tewas kepada Perak, Selasa lalu, pemain skuad itu dituntut memperagakan semangat juang yang lebih tinggi untuk memastikan mata kemenangan yang diharapkan tidak lagi tercicir.
Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri malam ini perlu
dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan misi melakar kemenangan
pertama musim ini dapat direalisasikan.
“Saya sudah mengarahkan pemain meningkatkan lagi persembahan dan memberikan tentangan habis-habisan kepada Kelantan malam esok (malam ini) kerana ia adalah peluang terbaik untuk pasukan mencapai kemenangan pertama yang disasarkan.
“Walau bukan suatu tugas mudah jika melihat kepada reputasi Kelantan, tetapi bukan juga suatu yang mustahil andai setiap pemain dapat memberikan komitmen 100 peratus,” katanya.
Alves akui persiapannya sedikit terganggu kerana tidak dapat
menurunkan tiga pemain berpengalaman iaitu penjaga gol Hamsani Ahmad,
Eddy Helmi Manan (gambar) dan Mohd Alif Shamsuddin kerana penggantungan.
“Saya kehilangan tiga pemain itu namun ia tidak menjejaskan keseluruhan persiapan kerana dapat menggunakan semula khidmat penyerang import Leandro Barbosa Fabio yang tidak diturunkan ketika bertemu Perak,” katanya.
No comments:
Post a Comment