Sumber: Utusan Malaysia
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih membuat kajian
menyeluruh sebelum menjalankan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M)
bermula tahun 2015.
Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, cadangan itu masih
dalam peringkat kajian sebelum bersedia menswastakan Liga-M dibuat.
Menurutnya, hanya Liga Super dan Premier sahaja terlibat dalam dasar
penswastaan tersebut pada tahun 2015, sementara saingan Liga FAM dan
Piala Presiden kekal di bawah kendalian badan induk bola sepak negara
itu.
"Bermula tahun 2015 semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super dan
Liga Premier akan diurus tadbir oleh syarikat sendiri dan bukan lagi di
bawah persatuan bola sepak negeri masing-masing. Ia merupakan kriteria
utama yang ditetapkan oleh FAM bagi tujuan penswastaan liga domestik
ini.
"Ketika ini sebuah jawatankuasa sedang melakukan kajian lebih
terperinci dan segala butiran lanjut mengenai ketetapan dalam
melaksanakan dasar ini akan diberitahu secara rasmi kepada semua
persatuan bola sepak negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan
Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Ke-58 dan
Ke-59 di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) di sini, semalam.
Yang turut hadir, Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Md. Noor dan Datuk
Rosmadi Ismail, Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim serta Penolong
Bendahari, Mohd. Nasir Hamzah.
Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan bola sepak negeri supaya
berganding bahu dengan FAM bagi memastikan transformasi tersebut
berjalan dengan lancar.
Afandi memberitahu, setakat ini Kelantan dilihat satu-satunya pasukan
negeri yang melaksanakan dasar penswastaan apabila dikendalikan
Theredwarriors.com Sdn. Bhd., sebuah entiti di bawah KAFA, bermula tahun
ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden KAFA berkata, pihaknya akan
mengemukakan usul yang dibangkitkan oleh ahli gabungan mereka pada
mesyuarat tersebut untuk dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)
FAM pada 17 Ogos nanti.
"Empat agenda yang kita akan usulkan ialah pindaan terhadap Statut 88
FAM, prestasi semasa pasukan kebangsaan, punca Malaysia Super League
(MSL) Sdn. Bhd. ditutup serta hala tuju Liga M selepas 10 tahun
dilaksanakan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment