Tuesday, June 11, 2013

Shakir tekad selamat maruah Jang

Sumber: Harian Metro
Seremban: Sekalipun berdepan tugas berat menyelamatkan maruah pasukan, penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md Ali, membulat tekad mahu membantu skuad Jang mencapai kemenangan dalam baki empat perlawanan Liga Super apabila saingan bersambung 22 Jun ini.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, sasarannya mahu memastikan Negeri Sembilan dapat kekal dalam saingan liga utama musim depan dan tidak rela tersingkir ke Liga Perdana meskipun misi itu bukan mudah dicapai.

Katanya, ini kerana empat pasukan yang bakal ditentang, PKNS FC, T-Team, FELDA United FC dan Johor Darul Takzim (JDT) memiliki kekuatan tersendiri serta rekod baik.


“Memang saya akui keempat-empat pasukan itu memiliki keistimewaan tapi kami akan hadapinya dengan keyakinan tinggi bagi memastikan mengutip mata penuh sekurang-kurangnya dalam dua perlawanan bagi membolehkan kami keluar daripada kedudukan tercorot.

“Saya bersama rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik kerana ini peluang yang perlu kami gunakan sepenuhnya untuk mengubah nasib kami. Saya yakin corak latihan dan strategi baru diketengahkan jurulatih (Ridzuan Abu Shah) mampu membantu kami menamatkan prestasi buruk awal saingan,” katanya semalam.

Bekas pemain Kedah itu yang dahagakan jaringan juga berharap dapat kembali kepada prestasi terbaiknya kerana sedar sandaran diberikan Ridzuan untuk mengembalikan maruah tercalar.

“Saya sedar harapan tinggi diletakkan dan tidak akan berputus asa mencari kemenangan,” katanya yang menaruh harapan dapat membentuk gandingan mantap bersama Mohd Nazrin Mohd Nawi, Eddy Helmi dan Leandro Barbosa Fabio di barisan depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...