Tuesday, June 11, 2013

‘Moga-moga selamat’

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Irfan Bakti Abu Salim berharap tiada kecederaan menimpa enam pemain utama Merah Kuning yang bersama skuad kebangsaan di Australia menjelang misi penting memastikan sasaran berada di kelompok tiga terbaik Liga Super tercapai.

Pengendali Selangor itu berkata, penting bagi mereka tidak lagi kehilangan pemain selepas penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe sudah pasti tersisih kerana penggantungan satu perlawanan selain kecederaan dialami Mohd Bunyamin Umar dan Mohd Nasriq Baharom.

“Paling membimbangkan ketika ini kecederaan pemain bersama skuad kebangsaan. Saya harap mereka tidak cedera kerana kami mempunyai baki empat perlawanan yang wajib dimenangi untuk sekurang-kurangnya menjadi tiga pasukan terbaik. “Malah sebaik saja liga bersambung, kami akan menentang ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan memerlukan pemain terbaik untuk perlawanan itu,” kata Irfan Bakti.

Enam tonggak Selangor bersama skuad kebangsaan adalah Norazlan Razali, Mahali Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy, S Kunanlan dan Mohd Amri Yahyah kini berada di Sydney bagi mengharungi baki dua aksi persahabatan menentang kelab tempatan negara itu.

Selangor kini di kedudukan keempat Liga Super dengan 30 mata hasil tujuh kemenangan, sembilan seri dan dua kalah, ketinggalan tiga mata kepada ATM dan berpeluang mengatasi lawan andai mencatatkan kemenangan dengan jumlah jaringan besar.

Tempoh rehat panjang digunakan sebaik mungkin oleh Irfan Bakti dengan mengatur dua aksi persahabatan menentang seteru Liga Super dengan Merah Kuning dijadual menentang FELDA United, hari ini dan Negeri Sembilan, Sabtu.

“Tidak banyak dapat dilakukan tanpa sebahagian besar pemain utama namun saya memberi penekanan untuk membaiki kelemahan seperti mempertingkatkan semangat berpasukan dan tahap kecergasan terutamanya pada babak akhir perlawanan yang sering menyebabkan kami meraih keputusan seri.” Selangor dijadual menentang ATM di Stadium Shah Alam, Jumaat depan disusuli pertemuan dengan PKNS FC, T-Team dan Johor Darul Takzim.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...