Wednesday, June 5, 2013

Naik ke Liga Perdana, FAP terima insentif RM250,000

Sumber: Utusan Malaysia

PULAU PINANG - Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) semalam menerima insentif sebanyak RM250,000 di atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan berkenaan dalam Liga FAM musim ini.

Insentif berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai 'hadiah' selepas pasukan berkenaan berjaya mengungguli liga berkenaan sekali gus melayakkan diri ke Liga Perdana musim depan.



Setiausaha Kehormat FAP, Ramathula Haja Mydin berkata, pihaknya akan terus memastikan prestasi cemerlang yang ditunjukkan para pemain dapat dikekal dan ditingkatkan demi membawa Pulau Pinang kembali ke Liga Super.

"Kita akan teruskan kejayaan ini dan menjanjikan aksi terbaik untuk Liga Perdana musim depan.

"Insentif ini pasti akan membakar semangat kami untuk terus memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama Pulau Pinang sekali gus memburu tempat di Liga Super," katanya kepada pemberita di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak, di sini semalam.

Pulau Pinang mengesahkan kejuaraan Liga FAM setelah menundukkan pasukan Perak YBU FC 1-0 dalam perlawanan di Stadium Bandar Raya di sini pada 26 Mei lalu dan menjadikan skuad bimbingan Merzagua Abderrazak itu terus selesa dengan 45 mata, jauh meninggalkan pasukan lain.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...