Sumber: Utusan Malaysia
SEBAHAGIAN penyokong The Red Warriors memecah masuk pintu utama Stadium Sultan Muhammad IV selepas gagal membeli tiket di Kota Bharu, semalam. |
KOTA BHARU - Ribuan penyokong The Red Warriors yang berang merempuh
pintu utama stadium selepas tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual
dalam tempoh lima minit sejurus kaunter jualan mula dibuka 9.30 pagi,
semalam.
Situasi tersebut menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong The Red
Warriors yang kebanyakan mula beratur di kaunter jualan di Stadium
Sultan Muhammad IV, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli tiket
tersebut.
Mereka yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disifatkan tidak berlaku adil dengan
tindakan tersebut.
Seorang penyokong, Mohd. Hamdan Abdul Mutalib, 37, mempersoalkan
bagaimana tiket tersebut boleh habis dijual dalam tempoh lima minit
sebaik sahaja kaunter jualan dibuka.
Menurutnya, dia hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tiket mula dijual kepada penyokong mulai semalam.
Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku. Setiap kali Kelantan
beraksi pada perlawanan akhir kejadian ini pasti berulang dan saya
teramat kecewa dengan tindakan KAFA ini.
Selaku penyokong saya rasa tertipu dengan tindakan ini. Saya
beratur seawal pukul 7 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket final,
namun apa yang ada hanyalah tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan
dengan Pahang.
Tindakan KAFA berbuat demikian bukanlah sesuatu yang bijak. Tiket
final sepatutnya dijual secara berasingan dengan perlawanan biasa, ini
bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter jualan," katanya di
sini, semalam.
Mohd. Hamdan mendesak KAFA memberikan penjelasan kepada penyokong berhubung insiden tersebut.
Seorang lagi penyokong, Nurul Azuan Zulkifli, 23, memberitahu apa
yang mengejutkannya, ada beberapa individu yang bertindak sebagai ulat
menjual tiket final dengan harga tinggi daripada harga asal.
Saya terkejut, bagaimana ulat boleh mendapat tiket-tiket final,
sedangkan pengumuman yang dibuat pada pukul 10.30 pagi memberitahu tiket
telah habis terjual.
Bukan itu sahaja, tiket tersebut dijual dengan harga antara RM45 hingga RM80 untuk sekeping," ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 1,000 penyokong Kelantan
beratur panjang untuk membeli tiket final, bagaimanapun gagal selepas
tiket berkenaan habis dalam tempoh lima minit.
No comments:
Post a Comment