Sumber: Utusan Online
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyifatkan pemilihan Tan Sri Annuar Musa untuk menerajui semula persatuan berkenaan selepas digantung selama dua tahun setengah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini bagaikan mengembalikan kekuatan mereka.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, kehadiran semula Annuar ke pangkuan persatuan bakal memberikan impak lebih besar kepada perkembangan The Red Warriors pada musim akan datang.
“Secara jujurnya, kami masih memerlukan Tan Sri untuk terus memimpin KAFA bagi memastikan kegemilangan pasukan Kelantan pada musim akan datang dikembalikan.
“Pada Kongres Tahunan KAFA hari ini membuktikan kami sebulat suara memilih beliau untuk terus kekal memimpin persatuan ini bagi sesi 2014 hingga 2018,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Kongres KAFA Ke-60 di sini semalam.
Pada pemilihan tersebut, Annuar memenangi jawatan presiden tanpa bertanding manakala Affandi kekal sebagai sebagai timbalan presiden selepas kedua-duanya tidak dicabar.
Bagaimanapun dua muka baharu iaitu Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisyam Abdul Aziz dan tokoh korporat Datuk Nasir Hamzah dipilih sebagai naib presiden manakala Datuk Rosmadi Ismail turut berjaya mengekalkan kedudukannya sebelum ini.
Pemilihan bagi sesi baharu ini pemilihan individu yang menduduki kerusi tertinggi KAFA berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang pertandingan.
Mengulas mengenai perkara itu, Affandi memberitahu situasi tersebut membuktikan perpaduan utuh dalam kalangan ahli majlis KAFA yang bekerjasama bagi melihat pasukan Kelantan terus berjaya.
Katanya, kerjasama ini diterjemah melalui sokongan padu dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada tanpa sebarang pertandingan khususnya untuk jawatan presiden dan timbalan serta naib presiden.
Dalam perkembangan lain, Affandi berkata, kehadiran muka baharu bagi jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) dijangka akan memperkasa persatuan itu.
No comments:
Post a Comment