Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - “Awak beritahu saya siapa lagi yang layak beraksi? Mereka (pengkritik) hanya tahu mengkritik dari luar tapi saya sendiri yang melatih pemain dan saya tahu kemampuan mereka.”
Itu tegas jurulatih bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh beberapa jam sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Hanoi semalam, untuk berdepan Vietnam dalam perlawanan persahabatan esok.
Perlawanan di Stadium My Dinh esok merupakan peluang terakhir buat Dollah untuk menguji keserasian pemain dan mencari barisan terbaik sebelum mereka ke pentas sebenar di Singapura untuk Kejohanan AFF.
Walaupun prestasi hambar Harimau Malaya ketika tewas 0-3 kepada Syria mendapat kritikan hebat peminat bola sepak tanahair, namun Dollah tetap akan menurunkan barisan yang sama apabila berdepan Vietnam.
Tegas Dollah, barisan pemain yang diturunkan ketika menentang Syria di Stadium Shah Alam Rabu lalu merupakan skuad terbaik yang dimilikinya buat masa ini.
Walaupun ada yang mengatakan tindakan bekas jurulatih Pahang dan PDRM itu menurunkan beberapa pemain yang sebelum ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan dalam pasukan negeri atau kelab masing-masing sebagai punca kekalahan, namun Dollah menyangkal dakwaan tersebut.
“Bagi menghadapi Vietnam (esok) saya tetap akan menurunkan barisan pemain sedia ada. Saya yakin dengan kemampuan mereka kerana saya yang memilih mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pertemuan menentang Syria, pertahanan Malaysia tampak amat rapuh dengan membenarkan lawan mudah membolosi kubu mereka, terutama pada separuh masa kedua.
Harimau Malaya membariskan Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Shukor Adan, Muslim Ahmad dan Mahalli Jasulli di bahagian benteng dalam kesebelasan pertama, manakala Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Dalam perlawanan menentang Syria, Dollah tidak menolak kemungkinan pemainnya sedikit keletihan selepas beraksi dalam liga domestik hingga menyebabkan mereka kurang fokus.
“Dalam perlawanan itu (menentang Syria) kami bermain dengan bagus pada babak pertama walaupun pihak lawan mendahului 1-0, namun keadaan berubah apabila mereka memperoleh gol kedua dan pada waktu itu saya lihat pemain seperti hilang fokus.
“Bagi menghadapi Vietnam saya akan menekankan kepada pemain macam mana hendak fokus serta mengekalkan prestasi walaupun sudah ketinggalan. Saya tidak mahu mereka cepat kecewa setiap kali lawan mendahului kita,” katanya.
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Hanoi untuk menghadapi Vietnam dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum memulakan kempen dalam Kejohanan AFF yang bermula Ahad depan.
Malaysia berdepan laluan sukar di Kota Singa kali ini apabila diundi bersama juara bertahan, Singapura dan juara tiga kali Thailand, selain Myanmar dalam Kumpulan B.
Untuk menambah masalah kepada Dollah, pemain sayap kiri R. Gopinathan dan tonggak pertahanan Aidil tidak dapat menyertai latihan sesi pagi semalam kerana mengalami kecederaan lutut, namun status mereka masih belum dapat dipastikan.
No comments:
Post a Comment