Sumber: Harian Metro
Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan untuk mengambil tiga pemain Afrika dan seorang Jepun bagi menggantikan semua pemain import musim lalu.
Pengurus pasukan Datuk Jeffrey Low Han Chow berkata, KFA mengambil keputusan tidak menyambung kontrak keempat-empat pemain itu kerana mahukan pemain lebih berwibawa supaya matlamat beraksi dalam saingan Liga Super 2016 tercapai.
“Bagi musim 2015, kami bersetuju mendapatkan seorang pemain Jepun dan bakinya Afrika. Semua pemain Afrika itu dijangka tiba di Alor Setar pada 24 November ini.
“Bagaimanapun, pemain Jepun itu hanya akan berada bersama kami selepas tamat Liga J pada 6 Disember,” katanya semalam.
Menurutnya, pemain Jepun itu beraksi dalam Liga J manakala tiga pemain Afrika itu bermain di Liga Amerika, India dan Myanmar.
Katanya, keputusan mendapatkan khidmat pemain baru itu dilakukan selepas menyaksikan lebih 80 video rakaman membabitkan keempat-empatnya beraksi sepenuh perlawanan.
“Jadi keputusan yang kami buat untuk mendapatkan khidmat mereka bukan dibuat secara terburu-buru,” katanya.
Katanya, Baddrol Bakhtiar akan kekal bersama Helang Merah manakala Khyril Muhymeen Zambri mengambil keputusan mencuba nasib bersama pasukan lain.
No comments:
Post a Comment