Sunday, November 30, 2014

Tuah waktu kecederaan

Sumber: Utusan Malaysia

SINGAPURA - Ketika Harimau Malaya sudah di ambang penyingkiran, tuah mengiringi mereka apabila dua gol waktu kecederaan membawa anak-anak buah Dollah Salleh ke separuh akhir Piala AFF dengan menundukkan Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Kallang, semalam.

Walaupun Khairul Amri mema­dam gol pembukaan Safee Sali pada minit ke-83, semangat juang Malaysia nyata sukar dipadam.

Tindakan Shakir Hamzah menolak Amri Yahyah dalam kotak pe­nalti pada minit ke-90 mendorong pengadil, Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said memberi sepakan penalti kepada Malaysia.



Safiq Rahim yang mengambil sepakan tenang menewaskan penjaga gol, Hassan Sunny untuk meletakkan Malaysia kembali di depan.

Tuan rumah tidak berputus asa apabila cuba mendapatkan gol pe­nyamaan, namun tindakan Hassan naik bagi membantu semasa situasi sepakan percuma membawa padah apabila Indra Putra Mahyuddin menghukum kecuaian Singapura.

Dia yang mendapat bola melalui tandukan Abdul Manaf Mamat tenang menyepak masuk ke gawang yang ternganga pada minit kelima waktu kecederaan.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Singapura di sini adalah pada Piala AFF 2002 dengan kemenangan besar 4-0. Kebetulan Indra adalah penjaring gol terak­hir ketika itu.

Kemenangan ini bagai me­ngulangi skrip 2010 apabila Malaysia tewas aksi pembukaan kepada Indonesia, seri dalam perlawanan kedua menentang Thailand sebelum mengalahkan Laos.

Malaysia menamatkan kempen selaku naib juara Kumpulan B dan me­nempah pertemuan dengan Vietnam pada separuh akhir.

Harimau Malaya akan menerima kunjungan lawan di Stadium Shah Alam pada 7 Disember ini, sebelum bertandang ke Hanoi pada 11 Disember.

“Terima kasih kepada tuhan kerana di saat akhir kami mendapat sepakan penalti. Pemain tidak kenal erti kekalahan apabila Singapura menyamakan kedudukan.

“Selepas empat perlawanan saya mengambil alih skuad ini, kami tidak mampu mendapatkan kemenangan, kami masih mampu melayakkan diri ke separuh akhir dan strategi saya menggunakan pemain senior dalam minit terakhir permainabenar-benar menjadi,” kata jurulatih negara, Dollah Salleh.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...