Saturday, November 15, 2014

Gladiators asah senjata

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Ketika pasukan lain sibuk melengkapkan senarai penuh pemain menghadapi saingan Liga M 2015, lain pula ceritanya bagi skuad The Gladiators yang kini sibuk mengasah taring sebagai persiapan awal menjelang cabaran baru bermula Januari depan.

Selepas melakukan rombakan besar-besaran dengan menggugurkan sebilangan besar pemain kuda tua, pengendalinya B Sathianathan percaya tenaga muda yang diserap bagi mewarnai pasukan itu mampu menggegar musim depan.

Berbekal nama-nama besar seperti ketua pasukan Hairuddin Omar, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo), K Reuben di samping tonggak import Obinna Nwaneri dan bintang Piala Dunia dari Honduras, Jerry Palacios, ternyata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia membedil lawan.



Dengan rekod bersih sepanjang aksi persiapan, Sathianathan berazam meletakkan kembali status ATM antara pasukan digeruni sebaris pasukan elit lain.

“Kami makin hampir melengkapkan nama pemain dan ini situasi baik buat pasukan. Walaupun kami belum secara rasmi menandatangani Mat Yo dan Palacios, saya yakin mereka akan bersama pasukan sebaik saja urusan mereka selesai bersama pasukan kebangsaan dan kelab.

“Tumpuan saya kini terarah untuk membina persefahaman dalam kalangan pemain dan saya amat puas hati dengan keputusan diraih sepanjang latihan serta perlawanan persahabatan.

“Jika perkara ini dapat dikekalkan hingga musim baru bermula, saya percaya ATM antara pencabar terkuat yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Pada aksi persahabatan bertemu wakil Australia Barat di Stadium Mini TUDM, Shah Alam, semalam, ATM berjaya mengikat lawan 2-2, biarpun ketinggalan dua kali.

Venice Elphi dan Rueben menjadi penyelamat pasukan dengan menjaringkan gol mengikat pelawat.

Menurut Sathianathan, ATM berangkat ke Bangkok, Thailand pada 12 Disember bagi mengharungi beberapa aksi persahabatan menentang pasukan tentera negara itu.

“Saya akan nilai dan mengukur tahap pemain di sana dan mereka harus beraksi dengan baik jika ingin mencuri tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...