PEMAIN pinjaman Terengganu daripada Harimau Muda A, Mohd Faizal Muhamad, sah dilamar skuad Penyu musim depan selepas dia menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi skuad itu sebaik selesai kontrak bersama pasukannya.
Pemain kelahiran Sentul Patah, Marang, Terengganu itu berkata kontraknya bersama Harimau Muda A akan tamat pada 31 Disember ini dan dia minta dilepaskan daripada skuad itu untuk menabur bakti bersama negeri kelahirannya musim depan.
“Ya, saya minta dilepaskan daripada skuad Harimau A musim depan untuk beraksi bersama skuad Terengganu yang sudah menyatakan kesediaan untuk melamar saya,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Pada saingan Piala Malaysia yang berakhir minggu lalu, pemain itu berjaya membentuk gandingan mantap bersama kapten, Marzuki Yusof, di benteng pertahanan sekali gus menambat hati Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengikatnya musim depan.
Selain itu, pemain yang pernah membantu negara menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember tahun lalu mengakui keputusannya untuk mewakili Terengganu musim depan disebabkan untuk membantu pasukan itu selepas kecewa gagal mendakap trofi berprestij itu minggu lalu.
“Sebab itu saya memilih Terengganu untuk berkhidmat musim depan biarpun turut mendapat tawaran daripada pasukan lain,” kata pemain itu yang kini berada dalam kem kebangsaan menghadapi Sukan Sea di Indonesia minggu depan.
Sebelum ini, PBSNT dalam mesyuarat awal skuad itu menyatakan enggan melepaskan beberapa pemain utamanya yang dikatakan meminta pelepasan untuk beraksi bersama skuad lain pada musim depan.
Antara pemain yang dikekalkan trio peledak, Abdul Hadi Yahaya, Abdul Manaf Mamat dan Mohd Ashaari Samsuddin. Turut dikekalkan Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Marzuki Yusof, Joseph Kalang Tie, Reesyafiq Alwi, Ismail Faruqi Ashari, Ahmad Nordin Alias, Mazlizam Mohamad dan penjaga gol kedua Mohd Sharmiza Yusoff. Selain itu, Mohd Faizal berkata, dia berikrar untuk membalas kepercayaan PBSNT dengan aksi terbaiknya pada musim depan terutama dengan kehadiran jurulatih berpengalaman.
“Saya akan memberikan persembahan terbaik pada musim depan dalam misi skuad mendakap Piala Malaysia,” katanya. lebih-lebih dengan kehadiran Mat Zan Mat Aris yang sudah membuktikan kemampuannya membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001,” katanya.
No comments:
Post a Comment