KUALA TERENGGANU - Setelah dua musim bersama Terengganu dan membantu memberi nafas baru kepada bola sepak negeri, jurulatihnya, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk berundur semalam.
Irfan yang kontraknya berakhir 30 November ini belum memutuskan pasukan yang akan dibimbingnya tetapi spekulasi mengaitkannya dengan Selangor.
Menurut Irfan, ke mana hala tujunya nanti akan diputuskan dalam sehari dua lagi.
Biarpun ia saat menyedihkan baginya, Irfan menyifatkan sudah sampai masanya dia meninggalkan pasukan itu untuk mencari cabaran baru walaupun mengejutkan para penyokong.
''Setelah mencapai persetujuan antara saya dan pengurusan, jadi saya mengundur diri, tidak lagi menyambung kontrak saya yang akan berakhir 30 November ini dan persefahaman ini adalah yang terbaik bagi saya dan pengurusan," ujarnya.
Beliau dalam nada terharu berterima kasih kepada pengurusan yang dianggap telah berbakti kepadanya dan juga kepada pemain-pemain bersama sokongan padu peminat, yang mana hasilnya tahun ini sebagai tahun terbaik untuk Terengganu.
Irfan menegaskan, langkahnya mengundur diri tiada kaitan dengan kegagalan menjulang Piala Malaysia dan juga soal pengurusan serta ganjaran.
''Kontrak saya habis 31 November. Jadi dengan cara baik saya meninggalkan pasukan itu sahaja. cukuplah dua tahun saya di sini dan saya akan cuba cari pasukan baru kerana saya sukakan cabaran," ujarnya.
Menurut Irfan, beliau meninggalkan Terengganu dengan rasa bangga kerana membantu mencapai naib juara Piala Malaysia, naib juara Liga dan juara Piala FA.
Katanya, tugas jurulatih baru bagi Terengganu akan menjadi lebih mudah dengan barisan pemain yang boleh terus digilap untuk kekal sebagai pasukan gergasi bola sepak negara.
''Pemain-pemain sudah disusun di situ. Hanya perlu sikit 'touch-up' saja. Tambahan pula pemain import akan datang. Pemain-pemain yang ada bersifat profesional dan saya berbangga memiliki kelompok pemain sebegitu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment