KALAU ya katakan ya, kalau tidak katakan tidak! Itu saja perlu dilakukan pemain Selangor, Safiq Rahim kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang berminat mendapatkan khidmatnya untuk menghadapi kempen Liga M 2012.
Selepas sekian lama menunggu, Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun berharap Safiq menyatakan pendirian dengan jelas.
“Dia tidak perlu risau apa-apa. Saya profesional. Jika mahu datang ke Perak katakan saja mahu jika sebaliknya, tidak ada masalah,” kata Khairul yang berlepas ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji semalam.
Khairul yang juga bendahari Pafa bersedia mengadakan rundingan mengenai bayaran yang diinginkan pemain itu.
“Perak bersungguh-sungguh dalam perkara ini. Katakan saja harganya. Jika mampu Perak akan beri jika tidak mampu kami minta maaflah,” katanya.
Sebelum ini Pafa juga pernah menyuarakan hasrat mendapatkan khidmat penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya tetapi membatalkan langkah itu selepas tidak mendapat kebenaran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Khairul berkata, setakat ini Perak sudah mengikat dua pemain Kuala Lumpur iaitu Mohd Sharom Kalam dan Fakrulrazi Kamaruddin serta berusaha mendapat khidmat lima pemain import tempatan selepas mengenepikan khidmat lapan pemain skuad musim lalu.
Daripada lapan, dua pemain iaitu Nurul Nashriq Kamarddin dan Mohd Nasir Basharruddin menarik diri daripada pasukan kerana tidak yakin dengan kemampuan.
Khairul juga berkata, usaha mendapatkan khidmat dua pemain import berwibawa kini dilakukan dan setakat ini 10 pemain dari benua Afrika, Brazil, Australia dan seorang dari Lubnan disenarai pendek untuk menjalani ujian selama 10 hari mulai 21 November.
No comments:
Post a Comment