Friday, November 4, 2011

Perak tekad bangkit musim depan


IPOH - Perak membuat persiapan awal untuk membina barisan terkuat bagi menghadapi Liga Super musim depan yang dijangka lebih sengit apabila kebanyakan pasukan mengintai pemain import.

Pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya bertekad untuk memastikan skuad Seladang bangkit dengan keputusan lebih baik selepas sekadar menduduki tangga keenam liga dan layak ke suku akhir Piala Malaysia musim lalu.

Katanya, anak buah jurulatih Norizan Bakar dijangka memulakan sesi latihan seawal minggu hadapan khususnya untuk menguji keserasian pemain-pemain baru.

''Saya harap persiapan awal ini membolehkan para pemain mengenal corak permainan rakan-rakan lain. Ini akan memudahkan pergerakan mereka semasa beraksi sekali gus persembahan Perak akan lebih baik berbanding musim lalu," katanya di sini semalam.

Antara muka baru yang bakal memperkuatkan skuad Seladang musim depan adalah dua bekas pemain Kuala Lumpur termasuk bekas ketua pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Fahrul Razi Kamaruddin.

Selain itu, penjaring terbanyak Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Failee Ghazli yang sudah mula menunjukkan bisa musim lalu serta bekas pemain Harimau Muda A, Muhammad Rifiuddin Roddin juga dijangka menjadi antara kunci kejayaan pasukan itu musim depan.

Perak juga bercadang mengambil dua pemain import dalam usaha memantapkan lagi skuad Perak musim akan datang dan setakat ini, 10 pemain dari luar negara berminat untuk mencuba nasib dalam sesi pemilihan pada 21 hingga 30 November ini.

Pemain-pemain tersebut datang dari benua Afrika, Brazil, Australia, Lebanon dan beberapa buah negara lain.

''Kita tidak mahu terburu-buru dalam pemilihan kerana kita mahu memastikan pemain mampu memberi kelebihan selain aspek keserasian dengan barisan pemain sedia ada," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...