KUALA LUMPUR - Pasukan yang berbelanja besar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berteka-teki pemain yang akan disambar bagi menghadapi persaingan musim hadapan.
Namun, tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan beberapa pemain bintang dari kebanyakan pasukan negeri.
Jurulatih ATM, B. Sathianathan yang baru mengambil alih jawatan itu pada bulan lalu mengakui, dia tidak boleh mendedahkan nama-nama pemain yang akan menyertai pasukan itu dalam masa terdekat.
''Buat masa saya tidak boleh berikan mana-mana nama pemain yang kami mahu dapatkan kerana segalanya masih berada di peringkat rundingan.
''Namun, seperti mana saya cakapkan dulu memang kami mahu mendapatkan beberapa pemain berstatus kebangsaan atau bekas pemain kebangsaan dalam pasukan ini cuma saya tidak boleh beritahu siapakah mereka.
''Segala persoalan mengenai pemain-pemain yang akan menyarung jersi ATM mungkin akan tahu selewat-lewatnya pada minggu hadapan, saya akan beritahu kepada pihak media," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beberapa nama hebat daripada pasukan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan sedang hangat dikaitkan dengan ATM.
Kehadiran Sathianathan jelas mampu menarik beberapa nama besar kerana pernah membimbing skuad kebangsaan dari tahun 2007 ke 2009 selain pernah bersama Kelantan
selama dua tahun.
Tumpuan bekas jurulatih kebangsaan itu kini dalam usaha mencari 14 pemain yang merupakan anggota ATM sebelum melengkapkan senarai 25 pemain dengan menyambar 11 pemain profesional.
''Saya kini sedang pergi ke banyak tempat bagi mencari pemain-pemain terbaik yang ada di kalangan anggota ATM sebelum melengkapkan skuad ini dengan pemain profesional.
Menyentuh pemain import, Sathianathan berkata, seorang pemain Argentina yang bermain di posisi serangan sudah pasti akan menyarung jersi ATM dan pencariannya kini tertumpu mendapatkan seorang lagi pemain import yang bermain di bahagian pertahanan.
''Pemain Argentina itu mempunyai pengalaman luas bermain di Liga Argentina dan beberapa liga luar negara dan pemain import kedua masih berada di peringkat penilaian tetapi saya mahu dapatkan pemain pertahanan," katanya.
Menjelang persiapan pra musim, Sathianathan mendedahkan pihak pengurusan ATM bercadang membawa skuad itu menjalani latihan dan tiga perlawanan persahabatan di Myanmar atau Thailand.
''Kami akan menjalani latihan luar negara di Myanmar atau Thailand serta melalui tiga perlawanan persahabatan di sana tetapi buat masa ini ia masih belum pasti ia akan dapat diadakan kerana hujan lebat dan cuaca buruk di sana," katanya.
No comments:
Post a Comment