Friday, November 4, 2011

Yob uji dua bekas pemain kebangsaan


DUA bekas pemain kebangsaan adalah antara 10 tenaga import yang akan diuji Perak dalam ujian pemilihan selama 10 hari di Ipoh bermula 21 November ini.

Pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemain terbabit kecuali berkata kedua-duanya membabitkan bekas pemain kebangsaan manakala seorang lagi pemain bawah 23 tahun.

Khairul Azwan berkata, awang impot yang disenarai pendek itu pula dicadangkan ejen berdaftar dengan Fifa, AFC dan FAM.

Katanya pemain terbabit berasal dari Afrika, Brazil, Australia dan Lubnan serta tidak pernah beraksi dalam kancah bola sepak tempatan sebelum ini.

“Tiada orang lama yang akan datang kerana kumpulan ini membabitkan muka baru dan tidak pernah terbabit dalam kancah bola sepak di negara ini,” katanya.

Katanya semua pemain berusia bawah 28 tahun dan beraksi di posisi tengah atau penyerang dalam liga Divisyen 1 atau Perdana negara masing-masing.

“Perak berharap dapat menyelesaikan isu pemilihan pemain import sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pada 8 Disember,” katanya.

Khairul yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata Seladang akan mengadakan kunjungan ke Indonesia pada minggu kedua Disember nanti.

“Kami berharap dapat menyusun tiga perlawanan di negara itu untuk menguji kemampuan pemain,” katanya.

Perak yang mengekalkan khidmat jurulatih, Norizan Bakar memulakan persiapan pada 14 November ini.

Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman yang lebih dikenali sebagai Cikgu Jan itu, Seladang menduduki tempat keenam dalam Liga Super serta mara ke suku akhir Piala Malaysia dan pusingan ketiga Piala FA.

Bagaimanapun daripada apa yang dibayangkan Pafa meletak sasaran lebih tinggi dalam musim baru nanti dengan impian merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada 2012 nanti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...