Tuesday, November 1, 2011

Mat Zan ganti Irfan bimbing Terengganu


KUALA TERENGGANU - Setelah lebih sedekad meninggalkan Terengganu, Mat Zan Mat Aris akhirnya dipilih untuk kembali menerajui pasukan dari Pantai Timur itu berikutan peletakan jawatan secara mengejut jurulatihnya, Irfan Bakti.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain dan pegawai pasukan di pejabatnya di sini, semalam.

Che Mat bagaimanapun berkata, Mat Zan yang ketika ini membimbing Pos Malaysia masih belum menandatangani perjanjian secara rasmi untuk menggantikan Irfan, sebaliknya hanya menyatakan persetujuan secara lisan ketika dihubungi sebelum ini.

"Kita telah berhubung dengan Mat Zan mengenai perkara tersebut dan beliau telah bersetuju untuk bersama Terengganu walaupun bukan secara hitam putih buat masa ini," katanya.

Mengenai keputusan Irfan meletak jawatan secara mengejut, Che Mat berkata, itu adalah perkara biasa dan pihaknya memang tidak berhasrat untuk menyingkirkan jurulatih yang banyak membawa kegemilangan kepada skuad Penyu sepanjang berkhidmat selama dua tahun.

"Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dan saya mengakui perkhidmatan yang diberikan Irfan selama ini amat membanggakan sehingga kita mampu muncul juara FA, naib juara Liga Super dan tempat kedua Piala Malaysia.

"Bagaimanapun, keputusan itu adalah hak beliau dan kita menerimanya dengan hati terbuka," ujar beliau.

Mengulas mengenai pemilihan Mat Zan pula, Che Mat memberitahu, pihaknya yakin rekod yang dimiliki jurulatih berpengalaman itu mampu membawa kejayaan yang gemilang buat pasukan memandangkan Mat Zan pernah membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001 sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai barisan kemungkinan skuad Penyu musim depan pula, Che Mat menjelaskan, perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

"Setakat ini, majoriti pemain dijangka kekal dalam skuad kerana kebanyakan mereka masih mempunyai baki kontrak untuk tempoh sekurang-kurangnya tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...