Friday, November 4, 2011

Indra Putra kembali ke Kelantan?


KOTA BHARU - Spekulasi kepulangan trio bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose kembali kepangkuan skuad The Red Warriors pada musim hadapan akan terjawab Selasa ini.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim ketika ditanya mengenai desas-desus tersebut tidak menafikan perkara tersebut, tetapi menjelaskan tidak ada yang mustahil dalam bola sepak.

''Terpulang kepada keadaan, apa-apa pun boleh jadi, Peter Butler (bekas jurulatih Kelantan) pun boleh balik kepada kita, tunggu Selasa ini senarai penuh pemain termasuk pemain baru akan diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

''Terdapat sedikit perubahan daripada 15 pemain yang diumumkan kekal baru-baru ini apabila penyerang, Nizad Ayub meminta supaya dilepaskan daripada kontrak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan di sini, semalam.

Pada majlis tersebut pemain dan pegawai pasukan menerima sumbangan sebanyak RM85,000 daripada Kerajaan Negeri Kelantan termasuk RM1,000 sumbangan peribadi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tabung kebajikan pemain.

Ketiga-tiga pemain terbabit merupakan tunggak utama The Red Warriors ketika merangkul Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada 2010.

Turut dikaitkan untuk beraksi kembali dengan Kelantan pada musim depan ialah sayap kanan Selangor, Amirulhadi Zainal.

Sementara itu, pada majlis yang sama, kapten pasukan Kelantan, Badri Radzi telah menyerahkan memorandum bagi pihak pemain serta pegawai pasukan kepada Nik Abdul Aziz memohon kerajaan negeri membantu pasukan itu.

Antara kandungan memorandum tersebut ialah meminta kerajaan negeri mengeluarkan surat jaminan RM2.5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), membantu kewangan KAFA dengan mengeluarkan geran sebanyak RM3 juta dan merayu kadar levi Perbadanan Stadium Sultan Muhammad IV ditetapkan pada kadar 10 peratus sahaja daripada jualan tiket.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...