Tuesday, October 30, 2012

12 pasukan Liga Super musim depan bersih


Harian Metro

DUA belas pasukan elit yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan didapati ‘bersih’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak terbabit dengan isu gaji pemain tertunggak.

Sebaliknya kes gaji pemain tertunggak kini hanya membabitkan tiga pasukan Liga Perdana dan mereka masih mempunyai masa untuk menyelesaikannya sebelum tarikh tutup penyertaan pada 23 November depan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan perkara itu berkata, pasukan yang bermasalah itu perlu melangsaikan tunggakan gaji pemain bagi mengelak daripada digantung.

Jang intai Ghani, Hamsani


Harian Metro

SELEPAS kehilangan Mohd Shukor Adan dan Mohd Farizal Marlias, pemain pertahanan Felda United FC, Abd Ghani Abd Rahman dan penjaga gol, Mohd Hamsani Ahmad antara pemain luar terbaru disebut-sebut bakal menyarung jersi Negeri Sembilan pada Liga Malaysia 2013.

Kedua-dua pemain itu dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan Shukor yang berpindah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Farizal yang beralih angin ke Perak.

Rajagobal tak gentar


Harian Metro

TAKTIK sama Indonesia yang memperkuatkan pasukan mereka dengan membawa masuk pemain naturalisasi baru ke dalam skuad Garuda tidak menggentarkan Datuk K Rajagobal yang akan membimbing skuad Harimau Malaya dalam kempen mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF bulan depan.

Sebaliknya pengendali negara itu lebih yakin dengan kemampuan pemain tempatan yang bakal berjuang dalam saingan Kumpulan A bersama pencabar utama, Indonesia, Singapura dan Laos dengan semangat lebih patriotik di laman sendiri.

Azraei berat hati tinggalkan Tok Gajah


Harian Metro

BIARPUN berat hati untuk meninggalkan Pahang yang banyak membantu meningkatkan prestasi, Wan Muhd Azraei Wan Teh terpaksa memilih Terengganu bagi meneruskan kerjayanya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Penjaga gol kelahiran Kampung Kolam, Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berkata, dengan beraksi di negeri kelahiran, dia menanam tekad untuk membantu memulihkan kembali imej skuad Penyu terutama dalam menjadikannya lebih mantap selepas pelbagai kontroversi melanda musim ini.

Dia yang pernah menyarung jersi skuad bawah 19 tahun Pahang, pasukan bertaraf kelab, Shahzan Muda dan pasukan senior sejak 2004 mahu pengalaman bersama Pahang akan membantu Terengganu untuk terus berada di puncak kejayaan.

Butler terus bingung


Harian Metro

KETUA jurulatih Terengganu, Peter Butler kecewa dengan sikap sambil lewa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang masih belum menghubunginya untuk mengadakan sebarang perbincangan mengenai masa depannya bersama skuad Penyu selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan hukuman dijatuhkan persatuan itu ke atasnya tidak sah dua minggu lalu.

Katanya, hukuman penggantungan enam bulan, denda RM4,000 dan potongan 15 peratus ke atas gaji bulan September sudah ditarik balik oleh FAM namun PBSNT masih berdiam diri tanpa sebarang usaha untuk menghubunginya.

“Memang saya berada di United Kingdom pada masa ini tapi pihak pengurusan pasukan mempunyai nombor telefon dan alamat emel saya. “Mereka boleh menghubungi saya pada bila-bila masa melalui telefon ataupun emel namun setakat hari ini (semalam), saya masih belum mendengar sebarang khabar daripada mereka,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu ketika dihubungi di Manchester, semalam.

Monday, October 29, 2012

Effa Owana: ‘Saya tekad julang Peteh’



MESKIPUN menyedari skuad Penyu diheret dengan kemelut yang belum berkesudahan, namun ia bukan penghalang buat penyerang import Negeri Sembilan, Effa Owana menyertai kem Terengganu musim depan.

Sebaliknya, penyerang kelahiran Cameroon itu mengambil sikap profesional dan tekad untuk membantu Terengganu mencapai misi dalam meraih satu piala pada saingan Liga Malaysia 2013.

Menurutnya, beliau  tidak kisah dengan rentetan kontroversi yang berlaku selama ini selagi ia tidak menjejaskan prestasinya ketika bersama skuad dari Pantai Timur itu nanti.

Amri Yahyah sertai PKNS?



 Amri Yahyah

KAPTEN Selangor, Amri Yahyah dilaporkan bakal meninggalkan pasukan itu dan menyertai pasukan 'adik' Selangor iaitu PKNS, musim depan.

Sumber dari Lembah Klang mendedahkan, perpindahan itu belum dimuktamadkan namun sudah ada perbincangan lisan mengenainya.

"Ya, ada peluang Amri sertai PKNS," kata sumber berkenaan.

Harimau Muda terus kekal beraksi di Liga Singapura


SKUAD Harimau Muda A dijangka terus kekal beraksi dalam Liga Singapura pada musim depan berdasarkan kontrak empat tahun bermula 2012 yang ditandatangani antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), di Wisma FAM, Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata situasi itu boleh berubah memandangkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan Sea di Myanmar, tahun depan.

Untuk rekod, skuad Harimau Muda A mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan Sea ke-26 pada 2011 selepas menundukkan Indonesia 5-4 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan penuh 90 minit di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Beberapa pemain kebangsaan dapat tawaran PBNJ


SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) Suhairi Hashim mengesahkan sudah menawarkan kontrak kepada beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang beraksi dengan pasukan kelab dan negeri bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi Liga Super, musim depan.

Beliau berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan lanjut dengan pemain terbabit yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan masing-masing sehingga penghujung tahun ini.

“Sehingga kini, tiada pemain menandatangani kontrak secara rasmi kerana kami mahu mereka menyelesaikan segala urusan bersama majikan masing-masing terlebih dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada seminar Liga Malaysia 2013-2016, semalam.

Fauzi belum muktamad arah tuju


Harian Metro

PENYERANG Johor, Mohd Fauzi Kasim masih belum menentukan arah tujunya musim depan selepas kontraknya bersama pasukan Liga Perdana itu berakhir, musim ini.

Bagaimanapun, tetap menaruh harapan untuk beraksi musim depan tanpa mengira pasukan kerana yang penting mahu berkongsi pengalaman dengan skuad barunya itu. Fauzi berkata, antara pasukan yang menjadi pilihannya termasuk Perlis dan Felda United selain beberapa kelab lain yang menunjukkan minat menggunakan khidmatnya.


Malah, anak kelahiran Melaka itu juga tidak menolak kemungkinan kembali menyarung jersi Hang Tuah musim depan selepas meninggalkan skuad itu pada 2009.

Amirul, Razman, Nasril sertai Pahang


Harian Metro

DUA pemain Selangor dan seorang dari Perak antara barisan pemain baru yang akan memantapkan Pahang untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Mereka membabitkan Mohd Amirul Hadi Zainal dan Mohd Razman Roslan yang beraksi bersama skuad Red Giants serta Mohd Nasril Nourdin yang juga penjaga gol utama Seladang, musim ini.


Kehadiran Mohd Nasril yang juga bekas penjaga gol kebangsaan itu diyakini mampu mengisi kekosongan ditinggalkan penjaga gol utama Pahang musim ini, Muhd Azraei Wan Teh yang beralih angin ke Terengganu.

Menurut sumber, kehadiran tiga pemain berkenaan dijangka membantu memperkemaskan lagi jentera tengah pasukan itu termasuk benteng terakhir skuad Tok Gajah.

Effa Owona sah perkasa Penyu


Harian Metro

PENYERANG berbisa Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona sah menyarung jersi skuad Penyu pada saingan Liga Malaysia tahun depan selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.

Owona lebih dikenali sebagai Effa di kalangan peminatnya, bakal mengambil tempat dikosongkan penyerang Liberia, Francis Doe yang kontraknya tidak diperbaharui.

“Saya gembira mendapat peluang beraksi dengan Terengganu musim depan kerana saya tahu pasukan ini sedang berusaha membentuk pasukan baru yang mampu meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan.

“Saya mempunyai pengalaman manis di Negeri Sembilan apabila menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan namun saya pasti nasib saya menjadi lebih baik di Terengganu dan yakin dapat menjaringkan lebih banyak gol nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas menandatangani kontrak di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, semalam.

Kim Swee sasar tempat ketiga


Harian Metro

SASARAN tempat ketiga pada saingan Liga S sudah cukup memuaskan hati pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee meskipun beliau sebenarnya pernah bercita-cita tinggi untuk membantu anak buahnya mendominasi saingan berkenaan.

Tinggal dua baki perlawanan, Harimau Muda kini menduduki tempat keempat selepas 22 perlawanan dengan mengumpul 41 mata di belakang Tampines Rovers FC, Brunei DPMM FC serta Albirex Niigata FC yang lebih satu mata.


Untuk bersaing di kedudukan pertama serta kedua sememangnya sudah jauh daripada jangkauan kerana Tampines mengumpul 49 mata dan Brunei pula 48 mata.

“Saya percaya jika tidak berdepan faktor kecederaan serta beberapa masalah lain, pasukan saya mampu bersaing di tempat pertama serta kedua liga.

Sunday, October 28, 2012

Liga Juara-Juara AFC: FAM kaji wujud badan bebas


SHAH ALAM - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan sebuah badan bebas yang akan mentadbir liga bola sepak tempatan.
   
Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kewujudan badan bebas sedemikian adalah penting dalam usaha FAM melihat kelibat aksi pasukan tempatan dalam kejohanan bola sepak berprestij kelab-kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC selewat-lewatnya pada 2016.
   
Berdasarkan syarat AFC, mana-mana pasukan dari negara Asia yang berhasrat menyertai Liga Juara-Juara AFC harus bermain dalam sebuah liga profesional yang dikawal selia oleh sebuah badan bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan badan induk bola sepak negara mereka.
   
"(Sehubungan itu), sekretariat FAM akan mengutus surat kepada AFC dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan pandangan mereka ke arah penubuhan badan bebas itu.
   

Pemain Kelantan kuasai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012


KUALA LUMPUR - Pemain dari pasukan Kelantan, yang merangkul gelaran trebel musim ini, menguasai senarai pendek calon untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena FAM 2012.
    
Pasukan Pantai Timur itu, yang meraihkan gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, mempunyai pemain dalam kesemua lapan kategori pada majlis penyampaian anugerah pada Selasa ini di Shah Alam.
    
Acara tahunan itu, yang diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertujuan mengiktiraf pencapaian pemain tempatan sepanjang musim ini, menurut kenyataan penaja bersama, F&N Beverages, di sini hari ini.
    

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...