Monday, October 29, 2012

Effa Owana: ‘Saya tekad julang Peteh’



MESKIPUN menyedari skuad Penyu diheret dengan kemelut yang belum berkesudahan, namun ia bukan penghalang buat penyerang import Negeri Sembilan, Effa Owana menyertai kem Terengganu musim depan.

Sebaliknya, penyerang kelahiran Cameroon itu mengambil sikap profesional dan tekad untuk membantu Terengganu mencapai misi dalam meraih satu piala pada saingan Liga Malaysia 2013.

Menurutnya, beliau  tidak kisah dengan rentetan kontroversi yang berlaku selama ini selagi ia tidak menjejaskan prestasinya ketika bersama skuad dari Pantai Timur itu nanti.


“Saya di sini hanya untuk bermain bola, jadi saya lebih profesional dan memikirkan bagaimana untuk meningkatkan prestasi saya di sini (Terengganu).

“Malah saya lihat pihak pengurusan (PBSNT) betul-betul serius mahukan khidmat saya dan ini yang menyebabkan saya tertarik untuk ke sini” katanya.

Sementara itu, Effa turut mengakui bahawa Terengganu mempunyai barisan pemain yang berwibawa dan tidak mustahil mereka mampu merealisasikan misi untuk meraih salah satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya kenal beberapa pemain di sini dan mereka sangat berbakat. Saya yakin boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya lakukan ketika bersama Negeri Sembilan sebelum ini,” katanya.

Untuk rekod, ketika bersama skuad Hobin Jang Hobin, penyerang berusia 29 tahun itu berjaya meledak 24 jaringan daripada 30 perlawanan sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain Negeri Sembilan, Effa Owona juga pernah beraksi dalam saingan Liga Perancis bersama FC Metz dan Hatta Club Dubai dalam saingan Liga Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...