Saturday, October 27, 2012

Saya telah buktikan di Vietnam - Kim Swee


SEPANG - Sebelum membawa diri ke Vietnam bagi menghadapi Piala Newspaper, jurulatih Bawah 21 negara, Ong Kim Swee menerima tamparan hebat apabila kehilangan lima pemain utama akibat disambar oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bagi beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Hong Kong.

Ketiadaan Izham Tarmizi Roslan, Mohd. Fadhli Shas, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Zubir Azmi seolah-olah dilihat mematahkan semangat Kim Swee apabila awal-awal lagi mengibar bendera putih untuk menjadi juara dengan alasan terpaksa menagih khidmat pemain kurang berpengalaman.



Namun, segala impian yang nampaknya sekadar angan-angan kosong bertukar menjadi catatan paling menggembirakan apabila tanpa disangka-sangka pasukan Bawah 21 negara muncul juara Piala Newspaper buat kali pertama dengan menewaskan tuan rumah, Vietnam Bawah 21 walaupun berbekalkan beberapa pemain berusia 16 tahun.

Bagi Kim Swee, tiada perkataan lain dapat menggambarkan erti kepuasan selain berjaya membuktikan kepada semua pihak sentuhannya masih menjadi biarpun tanpa pemain utama dan berdepan masalah kecederaan pemain yang serius.

"Walaupun tanpa lima pemain utama yang tidak dilepaskan, saya telah buktikan bahawa skuad kendalian saya mampu meraih kejuaraan Piala Newspaper di Vietnam.

"Bukan sekadar itu, pada aksi final saya terpaksa bergantung kepada 14 pemain sahaja setelah A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari mengalami kecederaan, namun pemain lain yang jadi pengganti ternyata dapat mengambil peluang itu dengan sebaik-baiknya dan mempamerkan aksi membanggakan bagi membantu kemenangan pasukan.

"Saya memang tidak terkejut dengan kemenangan ini kerana saya sentiasa yakin dengan kemampuan setiap pemain dan melahirkan penghargaan dengan prestasi pemain muda seperti Muhd. Ariff Farhan Mohd. Isa, Muhd. Nuridzuan Hassan, Kenny Palraj dan Adam Nor Azlin," katanya yang ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee memberitahu, dia tiada sebarang resipi membawa skuadnya muncul sebagai pasukan juara kecuali menanamkan semangat berpasukan di kalangan pemain.

"Jika ada orang fikirkan saya ada sentuhan ajaib, tidak sama sekali... Saya cuma mengingatkan pemain agar sentiasa bermain dan bersama sebagai satu pasukan dalam apa jua keadaan," katanya.

Skuad Bawah 21 negara menang dalam kesemua perlawanan dalam kejohanan yang diadakan di Gia Lai, Vietnam dengan mengalahkan Laos 4-2 dan Sydney FC 4-2 dalam peringkat kumpulan sebelum meraih kejayaan tipis 1-0 ke atas Thailand di saingan separuh akhir.

Biarpun Vietnam diletakkan selaku pilihan di perlawanan akhir, skuad bimbingan Kim Swee berjaya menidakkan ramalan dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal Ahmad Hazwan Bakri sekali gus memastikan sasaran mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 berada di landasan yang tepat.

Kim Swee juga menghamburkan pujian kepada pemainnya yang mampu beraksi di bawah tekanan semasa menentang tuan rumah di perlawanan akhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...