Wednesday, October 31, 2012

PBNJ tagih khidmat pemain La Liga


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), mengesahkan akan mendapatkan khidmat bintang bola sepak Sepanyol, Daniel Guiza, 32, yang pernah membantu skuad kebangsaan negara itu menjuarai Euro 2008.

Daniel Guiza yang kini beraksi bersama Getafe CF dalam saingan La Liga dianggap sebagai aset penting untuk menguatkan lagi jentera serangan Skuad Harimau Selatan bagi menghadapi saingan liga musim akan datang.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata Daniel Guiza bersama pengurusnya dijangka tiba di negeri itu esok untuk perbincangan lanjut berkaitan keputusannya beraksi bersama skuad Johor pada musim depan.


“Mengikut pasaran Eropah, Daniel Giza bernilai kira-kira 1.6 juta euro (RM6.3 juta), bagaimanapun kos sebenar bayaran untuk mendapatkan khidmatnya tidak dapat didedahkan PBNJ. “Johor memerlukan pemain berkualiti untuk menjuarai takhta liga, berikutan itu kami sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mempersiapkan diri,” titah Tunku Ismail pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, petang semalam.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail menyatakan pendirian untuk terus memikat Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo yang kini masih berada di dalam genggaman Red Warriors.

Kelantan berkeras untuk tidak melepaskan pemain terbaik final Piala Malaysia itu kerana masih memerlukan khidmatnya bagi memburu kejuaraan musim akan datang.

Khidmat Norshahrul amat diperlukan skuad Harimau Selatan selepas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu yang juga pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak serta Azmi Muslim bersetuju berhijrah ke Johor.

Selain itu, pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan seorang lagi pemain Kelantan, Nurul Azuan Roya juga bersetuju untuk beraksi bagi menguatkan skuad Harimau Selatan pada musim akan datang.

“Keputusan akhir perpindahan itu bagaimanapun terpulang kepada pemain itu sendiri sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan tawaran diberikan.

“Sebelum ini, perbincangan sudah diadakan sejak lima bulan lalu, kita juga sudah menyerahkan surat kepada Norsahahrul untuk perpindahan itu, kini kami tunggu dia untuk menyerahkan surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa),” titah Tunku Ismail.

Mat Yo dikatakan menerima tawaran lumayan daripada PBNJ dengan gaji bulanan RM80,000. PBNJ juga dikatakan sanggup menebus kontrak pemain itu yang dianggarkan bernilai RM1 juta bagi memastikan dia dapat beraksi dengan skuad Harimau Selatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...