Wednesday, October 31, 2012

Fadzli pilih Sime Darby


Harian Metro

BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd Fadzli Saari memilih Sime Darby FC bagi meneruskan kerjayanya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Mohd Fadzli berkata, keputusan itu bukan bermakna dia tidak mahu kekal bersama T-Team, sebaliknya tidak mahu berjauhan dengan isteri, Nur Anis Jamal Nasir dan anak-anak yang berada di Kuala Lumpur.

Menurutnya, biarpun akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan, dia mahu memastikan kehadirannya bersama kelab itu membantu mencipta kejayaan bermakna pada musim pertamanya.


“Musim ini, saya terpaksa berulang alik dari Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kerana isteri dan anak menetap di ibu kota. “Pada masa sama, saya hanya menandatangani kontrak selama semusim bersama T-Team.

“Saya percaya keputusan menyarung jersi Sime Darby adalah pilihan tepat biarpun banyak tawaran diterima daripada pasukan negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga Super.

“Tapi, keputusan ini akan memberi motivasi terbaik kepada saya untuk membantu Sime Darby layak ke Liga Super musim 2014,” katanya semalam.

Musim ini, bekas penyerang Selangor dan Pahang itu menjaringkan 15 gol bersama T-Team iaitu sembilan gol dalam saingan Liga Super, Piala FA (empat) dan Piala Malaysia (dua).

Mohd Fadzli berkata, prestasi semasa yang bebas daripada kecederaan musim ini menambah lagi keyakinan untuk memberi khidmat terbaik kepada Sime Darby.

Dia turut berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan pengurusan kelab memandangkan kebanyakan pasukan membariskan penyerang import bagi menajamkan lagi jentera serangan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...