Monday, October 29, 2012

Kim Swee sasar tempat ketiga


Harian Metro

SASARAN tempat ketiga pada saingan Liga S sudah cukup memuaskan hati pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee meskipun beliau sebenarnya pernah bercita-cita tinggi untuk membantu anak buahnya mendominasi saingan berkenaan.

Tinggal dua baki perlawanan, Harimau Muda kini menduduki tempat keempat selepas 22 perlawanan dengan mengumpul 41 mata di belakang Tampines Rovers FC, Brunei DPMM FC serta Albirex Niigata FC yang lebih satu mata.


Untuk bersaing di kedudukan pertama serta kedua sememangnya sudah jauh daripada jangkauan kerana Tampines mengumpul 49 mata dan Brunei pula 48 mata.

“Saya percaya jika tidak berdepan faktor kecederaan serta beberapa masalah lain, pasukan saya mampu bersaing di tempat pertama serta kedua liga.



“Tetapi sasaran penamat tempat ketiga sudah cukup baik, apatah lagi pada musim pertama kami di Liga S. Saya yakin kami mampu melakukannya sekiranya beraksi dengan baik pada baki dua lagi perlawanan,” katanya.


Harimau Muda kini berbaki dua perlawanan iaitu bertemu Hougang United, hari ini serta Tampines Rovers FC pada 2 November.

Mengulas mengenai kedua-dua perlawanan itu, Kim Swee mengakui anak buahnya perlu mengutip enam mata penuh sekiranya mahu menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga.


“Perlu diingat, kedua-dua pasukan adalah antara pasukan yang kuat terutama Tampines, tetapi saya tetap percaya kepada kemampuan barisan pemain saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...