Saturday, October 27, 2012
Kunanlan terima tawaran Selangor
PEMAIN sayap kiri Negeri Sembilan, S Kunanlan, mengesahkan bakal berubah angin apabila menerima tawaran Selangor pada kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, selepas menabur bakti dan memerah keringat selama lebih lima tahun bersama skuad itu.
Pemain lincah berusia 26 tahun berasal dari Semenyih itu berkata, keputusan ke skuad Red Giants, bukan bermakna sudah tiada keserasian dengan pasukan lamanya tapi untuk menimba pengalaman dan memantapkan lagi persembahannya.
“Saya menyertai Selangor musim depan dan segala urusan mengenai kontrak bakal diadakan tidak lama lagi kerana ketika ini saya sedang memberi fokus kepada persiapan menghadapi saingan Piala AFF, bermula akhir bulan depan.
“Sudah tiba masanya saya beralih angin dengan pasukan lain selepas agak lama dengan Negeri Sembilan kerana saya perlu menimba pengalaman bagi memantapkan lagi persembahan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Negeri Sembilan yang memberi kepercayaan selama lima musim dan berasa sedih meninggalkan pasukan itu namun perlu menerima hakikat dalam era bola sepak profesional untuk berani menyahut cabaran demi mencapai kejayaan lebih baik,” katanya.
Kunanlan mengakui berpuas hati dengan khidmatnya sepanjang bersama skuad Hoben Jang Hoben, apabila berjaya menjulang dua kali kejuaraan Piala Malaysia iaitu pada 2009 dan 2011 selain menjuarai Piala FA pada 2008.
Menurutnya, banyak kenangan pahit manis yang dialami bersama skuad Rusa itu tapi kejayaan menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali adalah detik paling mengembirakan.
“Saya puas hati dengan sumbangan yang diberikan kepada Negeri Sembilan kerana matlamat menjulang Piala Malaysia tercapai namun ada rasa terkilan apabila musim ini kami gagal mempertahankan piala keagungan itu selepas sekadar mara ke suku akhir,” katanya. yang mendapat bimbingan tiga jurulatih iaitu Hatem Sousi, Wan Jamak Wan Hassan dan Mohd Azraai Khor Abdullah.
Dia bersedia menggalas cabaran pasukan barunya itu dan berazam memberikan persembahan terbaik dalam membantu merealisasikan sasaran ditetapkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment