IMBAS KEMBALI...Mohamad (kiri) bersalaman dengan Effa Owona pada majlis memperkenalkan pemain Liga Super Negeri Sembilan, tahun lalu. |
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan pihaknya terpaksa memberi laluan kepada beberapa pemain utama untuk mencari pasukan lain bagi musim depan, selepas tidak dapat memenuhi permintaan kenaikan gaji yang tidak munasabah serta di luar kemampuan persatuan.
Sambil menganggap permintaan mereka sebagai keterlaluan, Mohamad yang juga Menteri Besar, berkata kantung PBNS akan koyak jika mereka memenuhi kehendak pemain itu.
“Sebagai contoh, pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona menuntut kenaikan gaji sehingga AS$300,000 (RM915,599) setahun berbanding sebelum ini hanya AS$120,000 (RM366,239). Selain itu, dia juga menuntut bayaran kontrak AS$100,000 (RM305,199).
“Bagi saya, permintaan itu melampau dan di luar kemampuan persatuan. Malah, kami juga menerima tuntutan gaji tinggi daripada pemain tempatan sehingga menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan mereka memilih pasukan lain,” katanya, semalam.
Effa Owona kini sudah mengikat kontrak setahun bersama skuad Penyu dan tidak diketahui berapa banyak yang dibelanjakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu untuk mendapatkan khidmat penyerang berasal dari Cameroon itu.
Antara pemain utama tempatan skuad itu yang turut beralih angin ke pasukan lain ialah Mohd Shukor Adan yang berpindah ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Farizal Marlias (Perak) dan S Kunanlan (Selangor).
Mengenai pemain import yang bakal menggantikan Effa Owona, Mohamad berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa pemain untuk diuji sebelum diserapkan kerana mahu pemain berkualiti yang diperakui baik di atas kertas dan di padang.
“Kita tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import kerana tidak mahu terperangkap apabila mendapat pemain yang tidak berkualiti,” katanya yang mengesahkan kontrak pemain pertahanan, Marian Farbak, tidak diperbaharui.
Beliau bagaimanapun mengesahkan pemilihan bekas jurulatih kelab Persebaya FC dari Indonesia, Divaldo Elves sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baru dengan keputusan mendapatkan khidmatnya dibuat selepas menilai prestasi dan rekod cemerlang pengendali kelahiran Portugal itu.
Mohamad berkata pihaknya yakin dengan keupayaan Elves bagi menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah yang berpindah ke Perak, bagi menjulang Negeri Sembilan selaku bekas juara dua kali Piala Malaysia.
“Kita sudah meneliti rekod cemerlang jurulatih itu sepanjang membimbing Persebaya FC dan pelantikannya diharap dapat melakar sejarah baru buat Negeri Sembilan.
“Tambahan pula Negeri Sembilan bakal berwajah baru dengan menampilkan ramai pemain muda dari skuad Piala Presiden selain beberapa pemain berpengalaman yang masih kekal dalam pasukan.
“Justeru, Elves diharap dapat menjelmakan sesuatu dalam misi meletakkan reputasi pasukan di tahap yang lebih cemerlang,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Seremban, semalam.
Menurut Mohamad, Elves akan mengikat kontrak selama setahun dan dijangka memulakan tugas dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment