Sunday, October 28, 2012

Sokongan peminat semakin menurun - Kelab Penyokong Melaka



KUALA LUMPUR - Buat masa ini, hanya tiga pasukan negeri, Pulau Pinang, Perlis dan Melaka bakal bersaing dalam Liga FAM - liga yang berada di bawah saingan Liga Super dan Liga Perdana.

Berbanding Pulau Pinang dan Perlis, penyokong mereka mungkin sempat pernah merasai zaman kegemilangan skuad kesayangan mereka pada penghujung era 90-an dan awal tahun 2000 dengan meraih pelbagai kejayaan.

Berbeza dengan penyokong Melaka, tiada apa boleh dibanggakan jika ditanya apakah pencapaian paling menarik dalam sejarah bola sepak negara kecuali menjuarai liga pada tahun 1983, malah belum pernah menjuarai Piala HMS Malaya atau Piala Malaysia sejak tahun 1921 di samping Piala FA.

Paling menyedihkan Melaka merupakan satu-satunya pasukan negeri di negara ini yang tidak pernah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.


Hakikat itu mungkin cukup sukar ditelan oleh semua pencinta bola sepak di Melaka tetapi itulah situasi yang tidak pernah berubah.

Dibimbangi fenomena itu mungkin selama-lamanya jika tiada perubahan drastik dapat dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) sebagaimana ditagih penyokong.

Menurut salah seorang wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Melaka yang enggan namanya disiarkan, sebahagian besar penyokong semakin hilang kepercayaan kepada badan bertanggung jawab.

''Saya dan beberapa penyokong pernah menemui pihak pengurusan untuk mengemukakan kertas kerja berbentuk cadangan bagi menaikkan kembali nama Melaka tetapi ditolak.

''Sebaliknya, mereka hanya menaburkan janji-janji manis bahawa mereka akan mengubah keadaan sekarang tetapi sehingga kini sebarang hasil pun tidak kelihatan.

''Ekoran tiada sebarang perubahan yang kelihatan, penyokong yang dahulunya ada datang ke stadium beransur-ansur kurang kerana kecewa dan kini hanya sedikit sahaja penonton hadir tiap kali perlawanan membabitkan Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sumber itu pada masa sama mendedahkan, negeri Hang Tuah tidak pernah ketandusan bakat dan dibuktikan dengan kejayaan skuad Bawah 14 tahun Melaka yang mara ke perlawanan akhir Piala Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2012.

''Ke mana semua budak-budak Melaka ini pergi? Jika mereka berminat hendak mengembangkan karier mereka, adakah MAFA akan mengambil mereka atau sekadar membiarkan mereka berhijrah ke negeri lain.

''Sepatutnya kejayaan Melaka mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja tahun lalu juga membuka mata ramai pihak bahawa negeri ini mempunyai potensi besar.

''Malahan, mereka sering bertukar jurulatih daripada awal sehingga penghujung musim dan begitu juga dengan pemain, tidak pernah kekal dalam satu musim sehinggakan kami peminat rasa pening," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...