Tuesday, October 30, 2012

Rajagobal tak gentar


Harian Metro

TAKTIK sama Indonesia yang memperkuatkan pasukan mereka dengan membawa masuk pemain naturalisasi baru ke dalam skuad Garuda tidak menggentarkan Datuk K Rajagobal yang akan membimbing skuad Harimau Malaya dalam kempen mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF bulan depan.

Sebaliknya pengendali negara itu lebih yakin dengan kemampuan pemain tempatan yang bakal berjuang dalam saingan Kumpulan A bersama pencabar utama, Indonesia, Singapura dan Laos dengan semangat lebih patriotik di laman sendiri.


“Ia terpulang kepada pihak persatuan bola sepak Indonesia yang mahu menggunakan pemain naturalisasi kerana mereka benar-benar mahu menjadi juara. Dua tahun lalu kita sudah melalui situasi ini, kita hanya menggunakan pemain tempatan dan terbukti berjaya. “Bagi saya pemain tempatan lebih patriotik, mengenali antara satu sama lain dan tahu budaya kita. Masing-masing ada cara tersendiri tapi itu (menggunakan pemain naturalisasi) bukan jaminan untuk sesuatu pasukan itu berjaya,” kata Rajagobal kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan terbaru Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang menyenaraikan sekurang-kurangnya empat pemain yang baru mendapat kerakyatan negara itu ke dalam skuad Garuda.

Berdasarkan senarai pendaftaran pemain Indonesia, empat muka baru pemain naturalisasi Indonesia yang tewas kepada Malaysia pada final Piala AFF 2010 adalah Raphael Guillermo Eduardo Maitimo, Jhonny van Beukering, Diego Michiels dan Tonnie Cusell Lilipaly dari Belanda.

Selain Indonesia, Singapura yang akan turut memberikan tentangan kepada Harimau Malaya di peringkat kumpulan juga memiliki enam pemain naturalisasi.

Rajagobal berkata, beliau sudah mengumpul semua maklumat mengenai kekuatan pasukan lawan dan tidak mengambil mudah setiap perlawanan termasuk pertemuan dengan pasukan daripada pusingan kelayakan Laos.

“Dua tahun lalu kita sudah mula kumpul maklumat semua pasukan. Saya akan memberi tumpuan pada setiap perlawanan. Kita tidak boleh mengatakan Laos dan Myanmar tidak kuat, semua pasukan mempunyai kekuatan lebih kurang sama,” katanya.

Skuad kebangsaan seramai 28 pemain kini menjalani latihan pusat dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Polis malam ini di padang Wisma FAM. Tiga lagi perlawanan ujian akan dilalui anak buah Rajagobal iaitu menentang Vietnam di Hanoi pada 3 November, Thailand di Chiang Mai (7 November) dan Hong Kong di Shah Alam (7 November) sebelum membuka kempen Piala AFF menentang Singapura (25 November).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...