DUA pemain Selangor dan seorang dari Perak antara barisan pemain baru yang akan memantapkan Pahang untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
Mereka membabitkan Mohd Amirul Hadi Zainal dan Mohd Razman Roslan yang beraksi bersama skuad Red Giants serta Mohd Nasril Nourdin yang juga penjaga gol utama Seladang, musim ini.
Kehadiran Mohd Nasril yang juga bekas penjaga gol kebangsaan itu diyakini mampu mengisi kekosongan ditinggalkan penjaga gol utama Pahang musim ini, Muhd Azraei Wan Teh yang beralih angin ke Terengganu.
Menurut sumber, kehadiran tiga pemain berkenaan dijangka membantu memperkemaskan lagi jentera tengah pasukan itu termasuk benteng terakhir skuad Tok Gajah.
“Setakat ini, hanya tiga pemain luar yang berminat untuk menyarung jersi skuad Pahang dan kami berharap kehadiran mereka akan membantu untuk mencipta kejayaan bermakna musim depan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pahang turut mengesahkan hanya 16 pemain musim ini dikekalkan termasuk pemain kebangsaan dan tengah skuad berkenaan, Mohd Azamuddin Akil dan R Gopinathan yang kini bersama skuad negara bagi persediaan Piala Suzuki AFF.
Tujuh pemain musim ini tidak dilanjutkan kontrak termasuk dua import, Boris Kochkin dari Russia dan Maycon Carvalho Inez, Brazil.
Berikutan prestasi membanggakan Pahang musim ini apabila kembali bersaing dalam Liga Super, sudah pasti pemain berpengalaman dan berkualiti menjadi sandaran untuk meletakkan pasukan itu berada di tahap prestasi terbaik.
No comments:
Post a Comment