Monday, October 29, 2012

Harimau Muda terus kekal beraksi di Liga Singapura


SKUAD Harimau Muda A dijangka terus kekal beraksi dalam Liga Singapura pada musim depan berdasarkan kontrak empat tahun bermula 2012 yang ditandatangani antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), di Wisma FAM, Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata situasi itu boleh berubah memandangkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan Sea di Myanmar, tahun depan.

Untuk rekod, skuad Harimau Muda A mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan Sea ke-26 pada 2011 selepas menundukkan Indonesia 5-4 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan penuh 90 minit di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.


Menurut Azzudin, spekulasi yang Harimau Muda A bakal menyertai liga lain di luar negara, hanyalah khabar angin kerana Jawatankuasa Eksekutif FAM masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Kita bagaimanapun bercadang menghantar mereka menyertai latihan di Eropah sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas seminar Liga Malaysia 2013-2016, semalam.

Sebelum ini dilaporkan, FAM bercadang menghantar skuad Harimau Muda A menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan Sea ke-27, di Myanmar.

Skuad bawah 23 tahun itu kini bersaing dalam Liga Singapura manakala pasukan LionsXII yang dibarisi pemain berusia 23 tahun ke atas bersaing dalam Liga Super berdasarkan kontrak perjanjian antara FAM dan FAS. Azzuddin berkata FAS boleh menggunakan budi bicara sama ada mahu mengekalkan pemain pasukan LionsXII sedia ada atau menghantar pasukan baru untuk Liga Super musim depan.

Kita bagaimanapun tetap mengekalkan skuad Harimau Muda A yang dibarisi pemain bawah 23 tahun demi pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...