Tuesday, October 30, 2012

Azraei berat hati tinggalkan Tok Gajah


Harian Metro

BIARPUN berat hati untuk meninggalkan Pahang yang banyak membantu meningkatkan prestasi, Wan Muhd Azraei Wan Teh terpaksa memilih Terengganu bagi meneruskan kerjayanya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Penjaga gol kelahiran Kampung Kolam, Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berkata, dengan beraksi di negeri kelahiran, dia menanam tekad untuk membantu memulihkan kembali imej skuad Penyu terutama dalam menjadikannya lebih mantap selepas pelbagai kontroversi melanda musim ini.

Dia yang pernah menyarung jersi skuad bawah 19 tahun Pahang, pasukan bertaraf kelab, Shahzan Muda dan pasukan senior sejak 2004 mahu pengalaman bersama Pahang akan membantu Terengganu untuk terus berada di puncak kejayaan.


"Sebenarnya, sejak 2010 saya berhasrat untuk bersama Terengganu, tapi tidak kesampaian. Namun, kepercayaan Terengganu yang mahu mendapatkan khidmat saya, sememangnya dinanti-nantikan.

"Selepas berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), mereka sedia melepaskan saya biarpun khidmat saya masih ditagih," katanya yang sudah memulakan latihan pertama di Kuala Terengganu, semalam.

Musim ini, Wan Muhd Azraie antara wira Pahang apabila memastikan pasukan itu kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim depan dan layak beraksi di suku akhir Piala Malaysia.

Kejayaan pemain berusia 26 tahun itu ternyata menambat hati pengurusan yang kehilangan penjaga gol utamanya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang mengambil keputusan berhijrah ke pasukan lain.

Bagi Pahang pula, mereka mendapatkan khidmat Mohd Nasril Nourdin yang juga penjaga gol utama skuad Seladang musim ini untuk mengawal benteng terakhir pasukan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...