KETUA jurulatih Terengganu, Peter Butler kecewa dengan sikap sambil lewa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang masih belum menghubunginya untuk mengadakan sebarang perbincangan mengenai masa depannya bersama skuad Penyu selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan hukuman dijatuhkan persatuan itu ke atasnya tidak sah dua minggu lalu.
Katanya, hukuman penggantungan enam bulan, denda RM4,000 dan potongan 15 peratus ke atas gaji bulan September sudah ditarik balik oleh FAM namun PBSNT masih berdiam diri tanpa sebarang usaha untuk menghubunginya.
“Memang saya berada di United Kingdom pada masa ini tapi pihak pengurusan pasukan mempunyai nombor telefon dan alamat emel saya. “Mereka boleh menghubungi saya pada bila-bila masa melalui telefon ataupun emel namun setakat hari ini (semalam), saya masih belum mendengar sebarang khabar daripada mereka,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu ketika dihubungi di Manchester, semalam.
Butler berkata, beliau akan kembali ke Malaysia pada 5 November depan dan akan berkunjung ke pejabat PBSNT di Kuala Terengganu untuk meminta penjelasan mengenai kedudukannya sebagai ketua jurulatih Terengganu.
“Saya juga tidak tahu kedudukan sebenar saya sekarang ini dan apa yang saya tahu, saya akan menurut segala arahan dibuat Jawatankuasa Tatatertib FAM.
“Saya juga tidak tahu apa tindakan yang bakal dilakukan pengurusan tertinggi PBSNT, namun saya bersedia untuk bertemu mereka dan berbincang mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut bekas pemain West Ham United dan West Bromwich Albion itu, belau mengharapkan keputusan yang akan dibuat PBSNT nanti akan menguntungkan semua pihak terutama masa depan bola sepak di Terengganu.
“Seperti saya katakan sebelum ini, saya bukanlah seorang pendendam dan bukan niat saya untuk melihat mana-mana pihak merana akibat kesilapan yang mungkin tidak disengajakan.
“Buat masa ini, saya masih belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas PBSNT walaupun tahu saya berada di pihak yang benar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PBSNT, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof berkata, perbincangan dengan Butler akan diadakan selepas jurulatih itu pulang semula ke Kuala Terengganu.
“Butler ada berkata yang beliau masih jurulatih Terengganu dan sekiranya begitu, sudah tentu beliau perlu kembali untuk menjalankan tugasnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment