SEPANJANG penglibatannya dalam sukan bola sepak, kejayaan menerima Anugerah Pertahanan Terbaik hari ini merupakan kali ketiga bagi pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas dinobatkan buat pertama kali pada 2009 dan kemudian 2010.
Aidil, 25, berjaya mendapat kembali anugerah itu setelah gagal mendapatkan tahun lepas walaupun namanya turut tercalon bersama dua lagi pemain akibat cedera.
"Saya rasa sungguh gembira, segala usaha yang saya lakukan selama ini telah dihargai oleh semua pihak.
"Dengan anugerah yang diberi, saya harap para pemain tanah air akan pergi lebih maju," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2012 kali ke-6 di Shah Alam, hari ini.
Melihat perkembangan arena bola sepak di Malaysia, Aidil berkata, pencapaian bertambah baik dan mula dihargai oleh peminat bola sepak tanah air.
"Alhamdulillah, tidak begitu baik, tidak begitu teruk tapi perkembangan bola sepak kita lebih maju berbanding dulu dan menuju ke arah yang lebih baik.
"Masa mula-mula penglibatan saya dulu perkembangan bola sepak negara agak merundum, tapi selepas menjuarai Sukan Sea di Laos nampak satu permulaan kemajuan bagi skuad Kebangsaan," katanya.
Khabar berita tentang penghijrahannya ke kelab lain untuk musim depan, Aidil masih belum mendapat keputusan secara rasmi lagi.
"Saya masih terikat dengan ATM dan kontrak akan berakhir bulan November ini.
"Selagi masih belum menandatagani dengan mana-mana kelab selagi itu saya tidak dapat pastikannya," katanya lagi.
Dua lagi pemain yang tercalon dalam anugerah yang sama adalah S Subramaniam, pemain dari Kelantan dan Amirizwan Taj Tajuddin, juga pemain ATM.
No comments:
Post a Comment