Sumber: Sinar Harian
PEMINAT Chelsea yang beragama Islam tidak perlu khuatir menonton perlawanan membabitkan pasukan kegemaran mereka menentang pilihan Malaysia, Sabtu ini kerana mereka dibenarkan untuk berbuka puasa di dalam Stadium Shah Alam, lapor, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA, DARI BANGKOK.
Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International, Julian Kam berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan stadium bagi memberi kemudahan kepada penyokong terutamanya yang berpuasa.
“Semua kemudahan sudah disediakan di stadium. Mereka boleh menggunakan surau dan membawa makanan ke dalam stadium untuk berbuka puasa,” katanya pada sidang media di Bangkok, semalam.
Dalam pada itu katanya, buat pertama kalinya, anak buah Jose Mourinho akan mengadakan dua kali sesi latihan selama tiga hari bermula Sabtu ini hingga Isnin depan.
Latihan komprehensif itu diadakan sempena persiapan Chelsea bagi menentang pilihan Malaysia dan Indonesia dalam program Jelajah Asia 2013.
Julian berkata, pemegang tiket perlawanan boleh melihat secara dekat pasukan mereka mengadakan latihan terbuka selama satu jam, hanya pada Sabtu ini, bermula 6 petang.
“Pasukan Chelsea menyatakan mereka selesa dan suka mengadakan latihan di Malaysia. Mereka akan mengadakan latihan selama 2 jam 15 minit setiap sesi, pagi dan petang,” katanya.
Sementara itu katanya, lebih 30,000 tiket sudah terjual dan orang ramai masih boleh mendapatkan tiket di premis Adidas terpilih, Tiketpro.com.my dan di kaunter tiket di Stadium Shah Alam.
No comments:
Post a Comment