Saturday, July 6, 2013

Sarawak Raja Bola Borneo

Sumber: Harian Metro

Kota Kinabalu: Sarawak semestinya layak dinobat Raja Bola Sepak Borneo apabila mengekalkan rekod tanpa kalah saingan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan jiran, Sabah 2-1 di Stadium Likas, petang semalam.

Gah dengan status selaku juara Liga Perdana, Sarawak memulakan aksi bertenaga apabila lebih banyak melakukan serangan ke kubu tuan rumah.



Benteng Sabahawks akhirnya berjaya dibolosi apabila Sarawak berjaya menghasilkan gol pertama menerusi pemain import, Muamer Salibasic yang berjaya menewaskan Shahril Sa’ari pada minit ke-29.

Namun, tuan rumah enggan mengaku kalah apabila menyamakan kedudukan m-36 menerusi Mohd Fazlidin Khalid yang melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan penjaga gol Bujang Senang, Saiful Amar Sudar.

Namun, usaha Sabahawks mengekalkan kedudukan seri gagal selepas bekas pemain Sabah, Bobby Gonzales menjaringkan gol kedua Sarawak m-45.

Seakan belum berpuas hati dengan kelebihan tipis itu, Sarawak terus menggandakan asakan pada babak kedua dan hampir menambah jaringan m-50 dan m-64 menerusi Gonzales, namun nasib tidak menyebelahinya.

Usaha Sabah menyamakan kedudukan turut buntu dan sepakan percuma Zainizam pada minit akhir perlawanan melewati palang gol sekali gus memastikan Sarawak pulang penuh bergaya.

Dengan kemenangan ini, Sarawak berjaya mengutip 58 mata dan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...