Sumber: Harian Metro
Ipoh: Peminat Perak mendesak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mendapatkan khidmat ayam tambatan Seladang, Paulo Rangel bagi musim hadapan.
Pengurus pasukan Khairul Azwan Harun berkata, beliau menerima banyak desakan peminat supaya memastikan penyerang keturunan Brazil yang dipinjam dari Kelab Muang Thong United, Thailand itu kekal di Ipoh.
“Ramai yang mahu PAFA ambil terus Rangel dari kelab lamanya itu. Mereka berpendapat dia aset pasukan.
“Begitupun ia tidak semudah dilakukan kerana dia masih milik Muang Thong United. Kita kena adakan rundingan dengan pasukan itu terlebaih dahulu,” katanya.
Rangel, 28 yang diambil ketika tingkap perpindahan dibuka pada April lalu menggantikan Karim Rouani pantas menjadi sanjungan peminat tempatan apabila berjaya menyumbangkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Perak dalam Liga Super lalu.
Malah kejayaan paling dramatik pemain itu apabila menyumbang hatrik ketika Perak menumpaskan pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim (DT) 3-0 di pusingan kedua Liga Super.
Rangel tampak gembira dan selesa berada di Ipoh terutama dengan kehadiran seorang lagi pemain Brazil, Rafael Souza Silva Novais yang turut mencuri hati penyokong Seladang.
“Dia mengakui seronok berada di sini dan ingin kekal bersama Perak. Ini bonus buat Perak dalam usaha mendapatkan khidmat pemain itu,” kata Azwan lagi.
Sementara itu, Perak menjalani latihan sebelah malam sepanjang Ramadan dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 17 Ogos nanti.
Azwan yang juga Timbalan Presiden PAFA berharap Seladang mampu meneruskan kesinambungan seperti dalam baki empat perlawanana liga lalu yng menyaksikan perak mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tewas sekali.
No comments:
Post a Comment