Friday, July 26, 2013

‘Tiada hitam putih’

Foto

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: “Saya tidak mahu ulas lanjut kerana tiada hitam putih.”

Jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Fandi Ahmad membuat kenyataan itu berhubung laporan pelantikan bekas pengurus Atletico Madrid dan Valencia, Cesar Ferrando Jiminez selaku pengurus dan ketua jurulatih baru skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.



Fandi yang baru pulang dari Chile atas urusan keluarga tidak mengendahkan segala perkhabaran malah bersikap profesional apabila kembali melatih pemain Harimau Selatan tanpa mempedulikan desas-desus membabitkan dirinya menghadapi kempen Piala Malaysia 20 Ogos ini.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai jurulatih baru itu. Tiada maklumat rasmi walaupun saya ada dengar berita mengenai perubahan musim depan. Apa yang saya dengar, jurulatih dari Sepanyol akan ditugaskan selaku ketua jurulatih. Saya tidak mahu fikirkan apa-apa kerana tumpuan sekarang pada persiapan rapi kempen Piala Malaysia.

“Saya tidak mahu ulas lanjut. Apapun saya akan mengadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mendapat maklumat lebih terperinci,” katanya yang turut memuji pemain yang memberi komitmen tinggi terhadap latihan ketika bulan puasa sekalipun tanpa pemain utama yang bersama skuad kebangsaan.

Sementara itu, Jiminez difahamkan akan berada di Johor Bahru dalam masa terdekat sebelum saingan Piala Malaysia bermula dan belum ada kata putus pengurusan tertinggi sama ada beliau akan bergandingan dengan Fandi.

Sebelum ini Johor DT dilapor berusaha membawa pemain LionsXII, Hariss Harun dan tiga pemain Harimau Muda yang juga anak jati Johor, Mohd Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Fandi Othman selepas Sukan SEA Myanmar, Disember ini selain pemain pertahanan dan penjaga gol utama Selangor, Norazlan Razali dan Mahali Jasuli.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...