Tuesday, July 23, 2013

Ridzuan puji aksi Nazrin Nawi

Sumber: Sinar Harian

AKSI dipamerkan Mohd Nazrin Mohd Nawi semasa menentang Chelsea, malam kelmarin jelas mencuri tumpuan sehingga mendapat pujian Jurulatih Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah.

Walaupun Harimau Malaya tumpas empat gol berbalas satu, namun kemasukan Mohd Nazrin menggantikan S Kunanlan pada pertengahan babak kedua dilihat berjaya merubah rentak permainan yang sebelumnya dikuasai pasukan pelawat.

Ridzuan berkata, selaku jurulatih di peringkat negeri, beliau berbangga dengan prestasi ditunjukkan anak didiknya itu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan kelab dari Eropah tersebut.



“Mohd Nazrin telah mempamerkan mutu persembahan menakjubkan, walaupun baru sahaja diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

“Saya tumpang gembira dengan pencapaiannya dan berharap Mohd Nazrin akan dapat mengekalkan kecemerlangannya bersama Skuad Rusa dalam saingan Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di Seremban, semalam.

Mengulas tentang pemain berusia 25 tahun itu, Ridzuan berkata, kebolehan Mohd Nazrin untuk menyarung jersi kebangsaan tidak disedari sebelum ini berikutan jarang diberi peluang membarisi kesebelasan utama pada tahun lalu.   

“Bagaimanapun, bakatnya mula terserlah apabila kerap diturunkan pada musim ini, ditambah dengan sikap positif dimiliki yang mahu memajukan diri.

“Justeru, pesan saya pada Mohd Nazrin adalah sentiasa menjaga disiplin dan ikut segala arahan jurulatih semasa mewakili negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Ridzuan turut berharap penyertaan Mohd Nazrin dalam skuad Harimau Malaya akan berupaya menggilap skil dimiliki memandangkan pemain muda berkenaan merupakan aset jangka panjang bagi pasukan negara.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...