Friday, July 26, 2013

Kelab penyokong sokong lantikan Mukhriz

Sumber: Sinar Harian

KELAB penyokong Bola Sepak Kedah menyokong penuh pelantikan Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Presiden baru Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Sambil menyifatkan itu keputusan yang tepat, Presidennya, Nor Asmadi Hamzah berkata, Kedah sememangnya memerlukan seorang pemimpin profesional dan berwibawa dalam menentukan semula hala tuju Hijau Kuning yang sekadar berada pada prestasi hambar musim ini.

“Sebagai kelab penyokong, saya rasa memang beliau calon paling sesuai mengemudi KFA selepas ini dalam memperkasakan semula Hijau Kuning pada musim depan.



"Lagipun, Mukhriz ialah pemimpin berwibawa dan dengan kedudukannya sekarang ini sebagai menteri besar, dilihat mampu menyuntik sesuatu ke dalam Hijau Kuning menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

“Beliau tentu mempunyai ramai pengaruh atau kenalan korporat yang mampu menjadi penaja untuk Hijau Kuning selepas ini.

“Ini kerana KFA tidak boleh terlalu bergantung kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada setiap tahun dan inisiatif lain perlu dicari untuk memperkukuhkan lagi kantung wang persatuan,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan Mukhriz sebagai Presiden baru KFA bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan tersebut dibuat sebulat suara oleh 28 perwakilan pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Tambah Asmadi, sifat profesional Mukhriz juga melayakkannya beliau untuk mengisi kekosongan jawatan presiden KFA yang dikosongkan penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada awal Jun lalu.

Malah, minat ditunjukkan Mukhriz yang hadir pada beberapa perlawanan Liga Perdana membabitkan Hijau Kuning di Stadium Darul Aman selepas menjawat jawatan Menteri Besar Kedah membuktikan komitmennya untuk memulihkan semula reputasi pasukan tersebut yang pernah menjulang juara berganda pada tahun 2007 dan 2008.

“Mukhriz adalah salah seorang peminat setia Hijau Kuning.

"Beliau memang bagi komitmen yang tinggi setiap kali ada perlawanan pasti beliau hadir untuk bagi sokongan di Stadium Darul Aman.

“Kelab penyokong menaruh harapan yang tinggi kepada beliau dan yakin mampu memimpin bola sepak Kedah untuk kembali muncul sebagai gergasi bola sepak utara,”ujarnya.

Sementara itu, dipetik dalam laporan tempatan hari ini, Mukhriz yang menerima amanah dan tanggungjawab itu tekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah, sesuai dengan aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata akan mengkaji semula program pembangunan bola sepak Kedah dengan menjalin kerjasama dengan kelab terkemuka antarabangsa bagi memberi pendedahan kepada pemain Hijau Kuning.

“Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada Kedah dan rakyat negeri ini.

“Saya akan cuba menggalasnya dengan sebaik mungkin menerusi pelbagai usaha untuk memastikan pasukan memenangi sebanyak mungkin permainan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA,” katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...