Monday, July 15, 2013

Jang harap sentuhan Nazrin pulih reputasi

Sumber: Harian Metro

Seremban: Negeri Sembilan mengharapkan sentuhan pemain muda Mohd Nazrin Mohd Nawi untuk memulihkan reputasi pasukan yang tercalar sepanjang saingan Piala Malaysia bermula 17 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu dianggap permata dalam skuad Hoben Jang Hoben apabila memberikan sumbangan paling berkesan dalam menggerakkan jentera serangan pada sebahagian perlawanan terakhir saingan Liga Super.


Ini diakui jurulatih Ridzuan Abu Shah yang menyifatkan prestasi Mohd Nazrin amat membanggakan apabila menghidupkan barisan depan pasukan itu.

Katanya, biarpun tidak dapat mengubah pasukan di kedudukan tercorot carta liga, sumbangannya tidak boleh dinafikan dalam setiap perlawanan termasuk berdepan Sabah pada aksi play-off.



“Saya lihat prestasi Mohd Nazrin meningkat sejak mengambil alih tugas jurulatih dan dia mempunyai potensi besar untuk maju namun perlu berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh.

“Sehingga kini saya amat berpuas hati dengan sumbangannya dalam memantapkan lagi kekuatan pasukan terutama barisan depan dan sememangnya kita amat mengharapkan sentuhannya menghadapi saingan Piala Malaysia nanti,” katanya semalam.

Menurut Ridzuan, penyertaan Mohd Nazrin dalam skuad kebangsaan sesuatu yang membanggakan kerana dia satu-satunya pemain Negeri Sembilan yang mendapat perhatian pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal.

Beliau berkata, pemain kelahiran Kelantan yang sudah menjaringkan enam gol itu diharap dapat meningkatkan prestasi dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan digunakan dalam membantu pasukan ketika berdepan cabaran getir nanti.

“Saya menaruh harapan tinggi kepada kemampuannya apatah lagi pasukan berdepan masalah ketumpulan barisan depan walaupun memiliki penyerang import dari Brazil, Leandro Barbosa Fabio,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...