Sumber: Harian Metro
Kelana Jaya: Ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal membayangkan untuk tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap perancang tengah Kelantan Mohd Badhri Radzi yang boleh menarik nafas lega selepas gagal melaporkan diri di kem latihan pusat Harimau Malaya beberapa hari lalu.
Pengendali berusia 57 tahun itu ketika ditanya mengenai tindakan disiplin yang mungkin dikenakan terhadap Badhri berkata: “Tidak, dia sudah melaporkan diri... sekarang kita akan tengok (pemeriksaan kecederaannya)”.
“Sekarang kita tunggu doktor dan ahli fisioterapi membuat pemeriksaan terhadap Badhri, lepas itu baru kita akan membuat keputusan berdasarkan tahap kecederaannya. Jika sempat pulih dia akan kekal di sini dan sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.
Badhri yang dikenali sebagai Piya mencetuskan kontroversi apabila tidak melaporkan diri untuk kem latihan skuad kebangsaan yang dijadualkan mengadakan beberapa aksi persahabatan dan kunjungan ke Jepun dalam masa terdekat.
Situasi itu mengundang reaksi keras pengurus skuad negara Datuk Seri Subahan Kamal yang dilaporkan berkata, tindakan tegas menanti pemain itu kerana gagal melaporkan diri di Wisma FAM, Khamis lalu dan bertindak mengeluarkan surat tunjuk sebab.
Pemain berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan hamstring dan diarahkan datang untuk melaporkan diri kepada Rajagobal bagi menjalani ujian perubatan dengan pegawai perubatan Jumaat lalu, namun gagal dengan memberikan alasan masalah penerbangan.
“Saya fikir semua pihak perlu faham polisi FAM. Semua pemain yang dipanggil perlu melaporkan diri walaupun mengalami kecederaan, hanya kecederaan teruk seperti tidak boleh berjalan kita boleh terima, (tidak hadir ke FAM) namun mestilah disertakan dengan laporan doktor.
“Seperti yang dilakukan Azamuddin Mohd Akil sebelum ini. Kita periksa dulu keadaan dia dan ternyata memerlukan tempoh lima minggu untuk pulih (patah jari),” katanya.
Badhri sebelum ini diangkat sebagai perancang tengah terbaik negara selepas menjulang Kelantan meraih tiga piala musim lalu. Malah kehebatannya berterusan tidak terhenti di situ apabila membantu Kelantan mempertahankan Piala FA musim ini serta menjadikan The Red Warriors empat pasukan terbaik Liga Super.
No comments:
Post a Comment