Sumber: Harian Metro
Seremban: Jurulatih Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah kecewa anak buahnya gagal menjaringkan gol walaupun berjaya mengimbangi kekuatan Johor Darul Takzim (DT) serta menguasai sebahagian besar permainan pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Menurutnya, banyak peluang terhidang tapi gagal dimanfaatkan sebaliknya pemain lawan bijak melakukan penyudahan tepat apabila menang menerusi gol jaringan Jasazrin Jamaluddin dan Nurul Azwan Roya.
“Ada jurang antara pasukan kami dengan Johor DT tapi kami menguasai sebahagian besar perlawanan selain mencipta banyak peluang namun gagal disudahi dengan jaringan.
“Antara peluang terbaik cubaan Shahurain (Abu Samah) dan Mohd Nazrin (Mohd Nawi) tapi tiang dan palang gol menjadi penghalang. Ini membuktikan dominasi belum cukup mengesahkan kemenangan.
“Penyudahan tumpul memang masalah yang kita hadapi dan ini perlu difikirkan termasuk pengambilan penyerang import jika mahu memulihkan reputasi pasukan ini pada musim depan,” katanya.
Menurut Ridzuan, pihaknya mahu pemain terus berusaha mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan terakhir dengan FELDA United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Beliau mensasarkan kemenangan kedua sejak mengambil alih tugas itu daripada Divaldo Alves selepas menewaskan Tentera sebelum ini.
“Pemain perlu terus berusaha meningkatkan lagi prestasi bagi memastikan matlamat itu tercapai.”
No comments:
Post a Comment