Monday, July 15, 2013

Kelantan hilang 6 tonggak hadapi Tampines Rovers

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Juara Piala FA, Kelantan yang bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Kelab FAM-FAS terpaksa menelan kepahitan apabila tidak dapat menggunakan enam tonggak yang kini bersama Harimau Malaya apabila melayani juara Liga Singapura 2012, Tampines Rovers pada 12 Ogos ini.

Semuanya gara-gara jarak masa perlawanan yang terlalu rapat dengan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan Barcelona pada 10 Ogos, iaitu hanya dibezakan dua hari.

Ini mungkin membuatkan jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak sanggup mengambil risiko menurunkan mana-mana daripada enam pemain terbabit.



Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, tarikh 12 Ogos iaitu hari kelima Aidilfitri adalah pilihannya memandangkan Piala Malaysia bermula 17 Ogos dan tarikh yang dicadangkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bersesuaian.

"Tarikh 12 Ogos ini kami sendiri yang minta kepada FAM setelah tidak bersetuju dengan tarikh asal iaitu selepas 6 Julai kerana Liga Super baru sahaja berakhir pada waktu itu.

"Malahan, semua pemain pun sudah diberi kelepasan, jadi agak sukar kalau mahu memanggil semua pemain semula, jadi kami fikir tarikh ini paling sesuai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Walaupun akur kemungkinan besar tidak dapat menggunakan enam pemain kebangsaan yang baru sahaja menghadapi Barcelona F.C pada 10 Ogos, Azman berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan pemain yang ada bagi berdepan Tampines.

"Ditolak dengan enam pemain yang mengikuti skuad kebangsaan dan jika Mohd. Badhri Mohd. Radzi serta Zairul Fitree tidak sempat pulih daripada kecederaan, hanya 16 pemain sahaja yang tinggal.

Enam pemain Kelantan yang sedang bersama pasukan kebangsaan adalah Azizi Mat Rose, Nik Shahrul Azim Mohd. Halim, Mohd. Nor Farhan Muhammad, Mohd. Shakir Shaari dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat manakala Badhri yang sebelum ini ada disenaraikan terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan.

Kelantan selaku juara Piala FA 2012 akan melayani Tampines Rovers di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sementara satu lagi perlawanan di Stadium Jalan Besar pada 13 Ogos melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...