|
Sumber: Utusan malaysia
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mempertaruhkan sentuhan bekas pemain negeri itu untuk menjulang semula skuad Seladang apabila melantik Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super musim depan.
Abu Bakar, 43, merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Perak yang beraksi pada posisi tengah dan pertahanan skuad Yob pada tahun 1991 hingga 2003, seangkatan dengan legenda Perak, Azizol Abu Hanifah.
Sepanjang tempoh tersebut, Abu Bakar membantu Perak memenangi dua Piala Malaysia dan dua Piala Sumbangsih.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang mengumumkan pelantikan itu berkata, Abu Bakar akan menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang mengumumkan akan menamatkan kontrak bersama Perak, semalam.
Beliau berkata, pelantikan Abu Bakar berdasarkan rekod cemerlangnya sepanjang lapan tahun bersama skuad Piala Presiden negeri itu.
Abu Bakar membawa skuadnya memenangi Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan naib juara Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu serta juara Liga Piala Presiden dan Naib Juara Piala Presiden tahun ini.
"Sudah sampai masanya PAFA membuat transformasi dan keberanian untuk berikan tugas dan peranan memulihkan maruah bola sepak Perak kepada anak tempatan yang mempunyai rekod yang cemerlang seperti Abu Bakar.
"Sebaik sahaja dilantik, saya meminta beliau supaya segera mengenal pasti pemain-pemain yang diperlukan untuk mewakili skuad Perak musim depan, termasuk pemain import," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya, Abu Bakar berkata, dia terkejut dengan keberanian PAFA memberi peluang kepadanya untuk mengemudi skuad Perak.
Namun, katanya dia sudah bersedia untuk menyahut cabaran beraksi dalam Liga Super musim depan.
"Saya menerima tawaran ini kerana saya merasakan inilah peluang terbaik untuk saya membimbing skuad Perak dalam saingan yang lebih tinggi.
"Demi membimbing Perak, saya menolak tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
"Saya akan memberikan keutamaan kepada mana-mana pemain yang mempunyai semangat untuk menang dan menaikkan nama skuad Perak," katanya.
No comments:
Post a Comment